KUALA LUMPUR: Malaysia dan Iran sedang memuktamadkan perjanjian kerjasama dalam bidang perfileman bagi memudah cara penerbitan bersama dan memperkukuh hubungan sinematik antara kedua-dua negara, kata Duta Iran ke Malaysia Valiollah Mohammadi Nasrabadi.

Beliau berkata organisasi berkaitan industri perfileman di kedua-dua negara kini sedang merangka serta menyelesaikan perincian perjanjian itu.

Menyuarakan keyakinan terhadap kerjasama itu, beliau berkata ia akan membuka laluan kepada penerbitan dan tayangan filem bersama antara Malaysia dan Iran.

"Selepas pemeteraian dokumen ini, asas perundangan serta pelaksanaan bagi pembangunan kerjasama perfileman antara Iran dan Malaysia akan menjadi lebih lancar.

Sinematik animasi Iran juga dianggap sebagai satu daripada bidang yang sesuai untuk kerjasama bersama kerana pengalaman teknikalnya serta kehadiran dalam pasaran global," katanya pada pelancaran Festival Filem Iran Malaysia 2025 di sini pada Selasa malam.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kerjasama Media dan Ruang Siber Iran Mahdi Molaei Arani ketika ditemui pada acara itu mengundang penggiat industri filem Malaysia untuk bekerjasama dengan rakan sejawat mereka di Iran dalam penganjuran Festival Filem Malaysia di Tehran.

"Kami bersedia menjadi tuan rumah bagi Festival Filem Malaysia di Iran," katanya.

Mahdi mengetuai delegasi enam wakil industri filem Iran, termasuk seorang pengarah filem dan beberapa ketua organisasi perfileman dalam lawatan ke Malaysia bagi mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Mengulas lanjut mengenai lawatannya, Mahdi berkata matlamat utama adalah untuk memperluas kerjasama media antara Iran dan Malaysia, memandangkan kedua-dua negara berkongsi hubungan budaya yang serupa.

Menurutnya, beberapa tema yang boleh menjadi asas kepada kerjasama antara industri filem Iran dan Malaysia termasuk isu berkaitan Palestin, institusi kekeluargaan dan nilai moral.

Festival Filem Iran Malaysia, yang memasuki edisi ketiga tahun ini akan berlangsung dari 20 hingga 23 Feb di Golden Screen Cinemas (GSC) di Mid Valley dan MyTown di sini, serta Gurney Plaza di Pulau Pinang dan Paradigm Mall, Johor Bahru.

Sebanyak lima filem pelbagai genre, termasuk sebuah filem animasi berjudul "Dolphin Boy", akan ditayangkan secara percuma kepada orang ramai. Filem lain yang turut ditayangkan ialah "In The Arms of the Tree" - sebuah drama keluarga; "Fragrant" - naratif mengenai identiti dan tanggungjawab kehidupan; "Goodbye Shirazi Girl" - kisah romantik serta "Captain" - yang mengangkat tema impian dan ketabahan menghadapi cabaran.

Maklumat mengenai festival ini boleh diperoleh menerusi halaman Facebook Kedutaan Iran di Malaysia, Facebook Pusat Kebudayaan Iran, laman sesawang GSC dan platform media sosial GSC.

Festival Filem Iran dianjurkan oleh Pusat Kebudayaan Kedutaan Iran di Kuala Lumpur dengan kerjasama GSC International Screens dan Finas.

-- BERNAMA