ISTERI usahawan dan pempengaruh media sosial Ridzuan Ridzokumura iaitu Akiko Okumura meninggal dunia pada Jumaat.

Berita duka itu disahkan sendiri oleh Ridzuan atau nama sebenarnya Abdul Ridzuan Abdul Mutalib, 50, menerusi hantaran di media sosialnya.

“Al-Fatihah untuk arwah isteri saya Akiko Okumura telah pergi meninggalkan saya dan anak saya selamanya,” tulisnya ringkas.

Rata-rata pengikut media sosial Ridzokumura turut terkejut dengan berita duka itu sementelah baharu sahaja melihat Akiko dalam siaran langsung malam tadi.

Setakat ini, punca kematian Akiko masih tidak diketahui dan anak saudara Ridzokumura iaitu aktres Zarina Zainuddin tidak menjawab panggilan telefon.

Untuk rekod, Ridzokumura dan Akiko yang merupakan warga negara Jepun, mendirikan rumah tangga pada Februari 2009.

Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata, Sky Taizo Okumura, yang baharu sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-13 semalam. - Sinar Harian