KUALA LUMPUR: Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menekankan isu berkaitan cukai perlu dikemukakan terlebih dahulu kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) dan bukan melalui semakan kehakiman di mahkamah.

Dalam ucaptamanya, beliau menjelaskan, mahkamah mempunyai bidang kuasa dalam hal cukai yang khusus.

"Mahkamah sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa sebarang perkara yang sepatutnya dikemukakan kepada SCIT, sama ada melalui rayuan atau kaedah lain, mesti dikemukakan kepada mereka dan bukannya melalui semakan kehakiman di mahkamah," katanya.

Bagaimanapun, beliau turut menekankan dalam soal tafsiran dan aplikasi undang-undang, ia tetap berada dalam bidang kuasa mahkamah, sekali gus menggariskan peranan semakan kehakiman dalam persoalan undang-undang.

Sebagai contoh, beliau merujuk kepada kes melibatkan Tenaga Nasional Berhad, di mana isu utama adalah sama ada 'elektrik' boleh dianggap sebagai komoditi dan dengan itu berhak mendapat pelepasan cukai tertentu.

"Seperti yang anda boleh hargai, aspek ini melibatkan persoalan undang-undang yang memerlukan tafsiran kehakiman - satu perkara yang hanya boleh dilakukan oleh mahkamah. Keputusan Mahkamah Tinggi telah disahkan oleh Mahkamah Rayuan dan rayuan di Mahkamah Persekutuan masih menunggu keputusan," katanya.

Tengku Maimun menyampaikan pandangan tersebut semasa majlis pelancaran buku "Malaysian Tax Law & Principles” yang ditulis oleh tiga peguam iaitu Datuk DP Naban, S. Saravana Kumar dan Nur Amira Ahmad Azhar di Pusat Konvensyen Sime Darby, di sini pada Selasa.

Beliau juga mengingatkan para peguam bahawa peranan mereka dalam isu cukai bukan sekadar untuk kepentingan pelanggan tetapi juga membantu memberi kesan kepada masyarakat umum.

"Jadi, kepada ahli-ahli Badan Peguam yang dihormati, sama ada anda mewakili pembayar cukai atau pihak berkuasa percukaian, anda mesti ingat bahawa setiap duluan yang anda tetapkan bukan sahaja harus membawa keadilan kepada pelanggan anda tetapi juga kepada masyarakat yang mengharapkan tahap integriti tertinggi daripada semua yang bertanggungjawab menegakkan kedaulatan undang-undang," katanya.

Tengku Maimun turut merujuk kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di mana perlembagaan undang-undang cukai dicabar.

"Dalam kes tersebut, adalah didakwa Seksyen 106(3) Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53) adalah tidak sah atas alasan ia merampas kuasa kehakiman dalam Perkara 121(1) Perlembagaan Persekutuan, ia tidak memberi pembayar cukai hak untuk perbicaraan yang adil serta menghalang hak mereka untuk mendapatkan keadilan - kedua-dua hak tersebut dilindungi oleh Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan," katanya..

Beliau mengakhiri ucapan dengan membincangkan sifat undang-undang cukai yang ketat dengan menyatakan walaupun ia adalah alat yang diperlukan untuk membiayai perkhidmatan awam ia sering menimbulkan kebimbangan dan ketakutan.

"Saya fikir adil untuk mengatakan kebanyakan orang takut kepada pihak berkuasa cukai. Ramai, termasuk orang biasa mungkin lebih takut dengan kunjungan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berbanding polis atau pihak berkuasa lain.

"Ini kerana apabila LHDN terlibat, bukan sahaja kebebasan dan liabiliti jenayah peribadi anda yang dipertaruhkan tetapi keseluruhan rekod perniagaan dan keadaan kewangan anda malah wang anda terbuka untuk dipersoalkan dan disita," katanya.

Tengku Maimun menegaskan, walaupun undang-undang cukai adalah ketat, ia mesti kekal berlandaskan undang-undang untuk mengelakkan penyalahgunaan.

"Seperti yang telah dikatakan sebelum ini, mahkamah tetap menjadi benteng terakhir keadilan yang melindungi masyarakat daripada ketidakadilan undang-undang," katanya. - BERNAMA