PUTRAJAYA: Masalah ketajaman penglihatan merupakan satu daripada masalah kesihatan utama dalam kalangan murid Tahun 1 di Malaysia, khususnya di Wilayah Persekutuan Putrajaya, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dzulkefly berkata sebanyak 215 murid Tahun 1 di Putrajaya mengalami masalah ketajaman penglihatan pada tahun lepas dan 239 orang pada 2023.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa memantau masalah tersebut melalui pemeriksaan oleh Pasukan Kesihatan Sekolah di bawah KKM dan menetapkan sasaran pengesanan ketajaman penglihatan melebihi lima peratus.

"Kita harus mendapat KPI (petunjuk prestasi utama) pada nilai ambang lima peratus untuk kenal pasti (masalah ketajaman penglihatan), bermaksud ada lagi yang tidak dapat kita diagnos dan mereka tergendala dari sudut pembelajaran," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyerahan kaca mata bagi Program Pemeriksaan Refraksi dan penajaan pembetulan ketajaman penglihatan kepada murid Tahun 1 kategori B40 dan M40, di sini hari ini. Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Dzulkefly berkata di dalam kelas lazimnya guru akan menyuruh murid yang menghadapi masalah ketajaman penglihatan untuk duduk di hadapan, namun langkah itu hanya bersifat sementara.

"Langkah yang sebenarnya adalah usaha untuk disaring atau dibuat saringan kesilapan refraksi. Kita mahu capai ambang pengesanan sekurang-kurangnya lima peratus tetapi kita hanya capai 3.4 hingga 3.5 peratus," katanya.

Beliau berkata pengesanan awal perlu dilakukan khususnya dalam kalangan murid Tahun 1 agar mereka yang mengalami masalah itu tidak terus tergendala dalam pembelajaran dan terpaksa memakai cermin mata kanta tebal.

Projek rintis pengesahan masalah ketajaman penglihatan dan pemberian kaca mata percuma kepada murid daripada kategori B40 dan M40 telah bermula sejak Ogos 2024 dan mengambil masa selama setahun di 16 buah sekolah rendah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Putrajaya.

Ia dilaksanakan dengan kerjasama antara KKM, KPM dan Optimax Eye Specialist Centre Sdn Bhd.

Sementara itu, Fadhlina berkata projek itu akan diperluaskan memandangkan masalah ketajaman penglihatan merupakan cabaran agar keciciran pembelajaran ditangani dan penumpuan murid dalam kelas lebih baik.

"Selepas Putrajaya...Nibong Tebal dan mungkin lepas ini Kuala Selangor. Ini program yang sangat baik, sebelum ini kita hanya dapat program pemberian kaca mata sahaja tetapi hari ini ada pengkhususan yang sebenar. Itulah penyelesaian kepada masalah pembelajaran anak-anak yang mesti kita ambil perhatian," katanya.

Beliau berkata selain inisiatif kaca mata, KPM dan KKM turut berkerjasama menangani isu malnutrisi dalam kalangan murid.

Dalam majlis itu, Fadhlina turut menyerahkan cek cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang memanfaatkan 39,000 murid di Putrajaya berjumlah RM5.89 juta.

-- BERNAMA