SHAH ALAM: Pembinaan Jajaran Rel Selangor akan dilaksanakan secara berperingkat melibatkan pelbagai fasa dan dijangka mengambil tempoh sehingga 10 tahun, kata Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri Ng Sze Han

Beliau berkata kerajaan negeri juga telah selesai melaksanakan sesi libat urus bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi mendapatkan maklum balas berhubung cadangan projek tersebut.

"Antara fasa berperingkat yang dicadangkan ialah reka bentuk awal dan paparan masa, permohonan skim kereta api bersyarat kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta badan berkaitan.

"Cadangan pembangunan Jajaran Rel Selangor dijangka dapat memberi kesan positif kepada Selangor, termasuk menerusi aspek limpahan ekonomi kepada negeri," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan R. Rajiv (PH-Bukit Gasing) berhubung perkembangan projek Jajaran Rel Selangor.

Ng berkata Kajian Kebolehlaksanaan Jajaran Rel Selangor kini dalam fasa akhir pelaksanaan sebelum hasil kajian itu diserahkan kepada MOT.

Beliau berkata kajian tersebut mengenal pasti jajaran sepanjang 200 kilometer (km) dengan empat cadangan jajaran sokongan (spurline) iaitu Pelabuhan Barat (Westport), Klang, Putra Heights dan Universiti Selangor (Unisel) Bestari Jaya.

Ng berkata kajian berkenaan turut mempertimbang dua jenis perkhidmatan iaitu penumpang dan kargo yang akan mengurangkan tempoh masa perjalanan utara serta selatan Selangor dengan kelajuan 160 kilometer sejam.

"Sebagai contoh pengguna dianggar hanya mengambil masa 1 jam 42 minit dari Sabak Bernam ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan Rel Selangor berbanding 2 jam 41 minit jika memandu," katanya.

-- BERNAMA