AKTOR senior, Datuk Jalaluddin Hassan bersedia untuk memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya dipanggil bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan sebuah syarikat perunding kewangan.

Memetik laporan media tempatan, Jalaluddin, 71, yang juga duta syarikat perundingan kewangan itu mengakui terkejut apabila dimaklumkan mengenai siasatan tersebut.

Bagaimanapun tegas bintang Jalan Sesat Ke Syurga itu, penglibatannya dengan syarikat tersebut tidak lebih sebagai duta sahaja.

"Saya hanya menjadi duta dan hasilkan video bagi tujuan promosi. Itu sahaja tugas saya dan tidak lebih daripada itu.

"Setakat ini juga SPRM belum menghubungi saya tetapi jika ada, saya sedia memberi kerjasama," katanya.

Dalam pada itu, penyanyi popular, Ziana Zain mengambil pendekatan untuk mengunci mulut dan enggan memberi sebarang kenyataan berhubung perkara itu.

No komen, saya hanya menyanyi sahaja,” ujarnya.

Terdahulu, Sinar Harian pada Ahad melaporkan beberapa selebriti termasuk ikon tempatan dalam radar siasatan SPRM dipercayai terlibat dalam sindiket tawaran pinjaman.

Ia susulan SPRM menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan dalam Ops Sky.

Setakat ini, 27 individu ditahan termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan terbabit dan satu orang awam dan kesemua mereka telah dilepaskan daripada reman dengan jaminan SPRM.

Sebelum ini, Jalaluddin dipilih sebagai salah seorang duta syarikat pengurusan kewangan bersama angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor. - Sinar Harian