TAWAU: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan supaya tidak ada agensi, jabatan atau kementerian yang bekerja secara silo atau bersendirian bagi memperkasakan usaha pembangunan usahawan khususnya di Sabah.


Ringkasan AI
  • Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan agar agensi, jabatan, dan kementerian tidak bekerja secara silo dalam usaha pembangunan usahawan di Sabah.
  • Kerjasama strategik antara semua pihak penting untuk melaksanakan program keusahawanan desa yang berkesan.
  • Ahmad Zahid juga menyatakan bahawa nasib pegawai dan guru Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) berkaitan skim gaji baharu serta perjawatan daripada kontrak ke tetap akan diperjuangkan.


Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Usahawan berkata kerjasama strategik semua pihak termasuk kerajaan negeri dan agensi keusahawanan, penting dalam melaksanakan program keusahawanan desa yang berkesan.

"Azam kerajaan Madani adalah untuk meramaikan usahawan kecil, sederhana serta makro dan boleh dinaik taraf kerana semua ini dilakukan kerajaan hari ini demi kepentingan rakyat. Terdapat 17 kementerian yang terlibat dalam pembangunan keusahawanan.

"Saya seru tidak ada mana-mana pihak yang bekerja secara silo. Mereka mesti berkoordinasi, saya akan pantau prestasi mewujudkan lebih ramai usahawan di Sabah ini," katanya ketika menutup Program Sentuhan Kasih Desa@Tawau 2025 KKDW di Kompleks Sukan Tawau, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata nasib semua pegawai serta guru Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) berkaitan skim gaji baharu serta perjawatan daripada kontrak ke tetap, akan diperjuangkan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata sehubungan itu, beliau telah meminta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah KEMAS Datuk Mohd Hanafiah Man, untuk duduk semeja bagi merealisasi perkara ini.

"Jangan lupa skim gaji baharu kepada guru-guru KEMAS, jawatan KEMAS selama ini hanya jawatan kontrak, saya telah beri arahan beri jawatan tetap.

"Apabila skim gaji baharu dan perjawatan tetap ini diluluskan Kerajaan MADANI, saya harap tenaga kerja KEMAS di Sabah dan seluruh negara akan dapat ditingkatkan produktiviti," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berpuas hati dengan perancangan KEMAS yang dibentangkan melalui makmal serta permukiman pada bulan lepas, terutama untuk memberi kesinambungan ekosistem baharu dalam pendidikan tadika dan tabika KEMAS.

"Saya arah Ketua Pengarah KEMAS melihat secara keseluruhan agar penaiktarafan kelas tabika, tadika KEMAS dapat dilakukan, saya akan memantau prestasi beliau, saya minta beliau agar turun ke bawah khusus ke Sabah dengan lebih kerap. Tambah kelas KEMAS, beri kemudahan kepada anak-anak KEMAS," katanya.

-- BERNAMA