Al-Sultan Abdullah mengingatkan agar rakyat hidup dalam keadaan harmoni, bersatu dan tidak bertelagah kerana sebab-sebab kecil.
Dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI, baginda turut mendoakan agar rakyat Pahang sentiasa berada dalam keadaan sihat dan sentiasa menjaga budi baik antara satu sama lain.
“Saya mendoakan semua rakyat Pahang dalam keadaan sihat walafiat dan sentiasa mengingatkan Negeri Pahang ini sebuah negeri yang sama-sama kita tinggal dan harus menjaga budi baik.
“Kita semua perlu menjaga ukhwah kita antara satu sama lain, tak kira sama bangsa, sama Melayu sama Cina, selagi kita tinggal di Pahang saya mengharapkan kita tinggal secara harmoni dan bersatu.
“Jangan bertelagah kerana sebab-sebab kecil, ini akan merugikan bangsa itu sendiri dan kita tidak mahu ada masalah berkaitan dengan perkauman, kita nak hidup dalam harmoni,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan agar masyarakat umum mengekalkan keharmonian yang ada sekarang dan bersyukur apa yang kita ada sekarang.
Baru-baru ini, Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat ke majlis sambutan Tahun Baharu Cina yang diadakan di mercu tanda ikonik, Menara 188 Kuantan.
Keberangkatan tiba baginda diiringi Tengku Mahkota Pahang,Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Baginda dan Tengku Hassanal disambut dengan penuh meriah hampir 400 tetamu yang terdiri daripada pemimpin negeri, ahli perniagaan dan masyarakat setempat.
Al-Sultan Abdullah turut berkenan menggaul Yee Sang sepanjang 50 meter bersama tetamu jemputan dan komuniti setempat sebagai tanda kepada keberkatan dan kemakmuran tahun baharu.