Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini kerana, harga tanah berhampiran lokasi itu berpotensi melonjak daripada 20 hingga 30 peratus apabila kawasan terbabit sudah dilengkapi infrastruktur dan prasarana.
"Jadi pertahankan tanah di situ. Jangan terlalu teruja menjualnya sekarang hanya untuk meraih keuntungan cepat, kerana ada yang sudah buat begitu apabila pembeli memberi tawaran harga dua kali ganda.
"Tanjung Embang dianggap sebagai kawasan dalam lingkaran bandar, namun belum ada prasarana dan jalan raya lengkap untuk menghubunginya (dari bandar Kuching)... saya dengar-dengar tanah kawasan itu mampu melonjak hingga ratusan ribu ringgit," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai rombongan membuat kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di sini, pada Rabu.
Terletak di bahagian Samarahan, lapangan terbang antarabangsa baharu itu dilaporkan akan dibina mengikut model lapangan terbang di Doha, Qatar dan dilengkapi kemudahan canggih bagi mengendalikan jumlah penumpang lebih ramai.
Sementara itu, Abdul Karim menasihatkan pemilik tanah di kawasan luar bandar juga untuk tidak terlalu ghairah menjual tanah mereka, sekiranya kawasan itu belum dilengkapi infrastruktur seperti jambatan dan jalan raya.
"Setiap kali ada projek pembangunan contohnya jambatan atau jalan raya, sama ada ia terletak di bandar atau luar bandar, mesti ramai orang akan mencari tanah di tempat itu.
"Kita dapat lihat Jambatan Batang Lupar, jambatan di Batang Sadong dan Sebuyau juga harga tanah di situ meningkat selepas adanya pembinaan sedemikian," katanya. - BERNAMA
