Ringkasan AI
- Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menegaskan bahawa kesedaran individu dan rasa syukur adalah kunci untuk mengelak rasuah.
- Beliau mengingatkan penjawat awam untuk melaporkan pelanggaran tatakelola kepada pihak atasan.
- Pasukan Petugas Khas CPI akan meneliti kelemahan bagi meningkatkan imej Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berharap, orang ramai dapat mendalami tiga pesanan khas beliau ini kerana nasihat itu merupakan erti sebenar kehidupan.
"Satu, hidup jangan melebihi daripada apa yang kita ada.
"Kedua, jangan bandingkan hidup kita dengan orang yang lebih senang, kita tengok diri kita dan banding dengan orang lebih susah daripada kita.
"Ketiga yang penting untuk elak kita daripada rasuah adalah bersyukur dengan apa yang kita ada dan tanam dalam diri kita, kita mahu bagi makan ahli keluarga kita mestilah daripada unsur yang halal," katanya.
Shamsul yang berkongsi pandangan kepada Astro AWANI berkata, orang ramai terutama penjawat awam juga perlu memainkan peranan dengan melaporkan kepada pihak atasan jika mengesan berlaku pelanggaran tatakelola.
Mengulas mengenai indeks persepsi rasuah (CPI) 2024 yang menyaksikan Malaysia kekal di tangga ke-57 bagi tahun kedua berturut-turut, Shamsul berkata, pihaknya akan memastikan penambahbaikan dilakukan segera.
Shamsul sekali lagi mengulangi komitmen bahawa penubuhan Pasukan Petugas Khas CPI yang dipimpin beliau akan sedaya upaya meneliti segala kelemahan bagi meningkatkan imej negara di mata dunia.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)