Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusof berkata setakat ini, enam kios telah disediakan di atas jejantas itu bagi membuka peluang kepada peniaga tempatan menjana pendapatan, di samping memperkenalkan Uptown Tun Teja yang menempatkan hampir 150 peniaga yang mula beroperasi secara percubaan dari 19 hingga 28 Feb ini.
"Semua ini secara tidak langsung akan memangkin perkembangan positif terhadap kegiatan ekonomi di sekitar Melaka Sentral dan Taman Cempaka. Sudah pasti, Jejantas Tun Teja yang dihiasi lebih 4,000 lampu LED yang menggunakan teknologi terkini akan menggamit lebih ramai pelancong," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Jejantas Tun Teja di sini di pekarangan parkir Melaka Sentral dengan turut dihadiri barisan kepimpinan negeri serta lebih 5,000 pengunjung, malam tadi.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata jejantas yang dinaik taraf membabitkan kos keseluruhan hampir RM7.9 juta itu diilhamkan daripada warisan seni bina istana Melaka dan dijenamakan semula daripada Jejantas Melaka Sentral kepada Jejantas Tun Teja sebagai penghormatan kepada seorang permaisuri yang amat disanjungi pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.
Beliau berkata jejantas sepanjang 500 meter keseluruhan itu mula dinaik taraf pada Mac 2024, memperlihatkan ciri unik pada bumbung utamanya manakala empat laluan penghubung jejantas pula dinamakan Langkah Laksmana, Langkah Srikandi, Langkah Bendahara dan Langkah Permaisuri.
"Ia memberi nilai tambah kepada jejantas yang sudah lama berada di kawasan ini dan ia dilakukan menerusi tenaga pakar daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah termasuk mengeluarkan perbelanjaan.
"Lebih istimewa, jejantas ini dilengkapi dengan sensor pergerakan, iaitu lampu akan dicahayakan mengikut pergerakan manusia yang melintasi jejantas ini," katanya.
-- BERNAMA
