Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff berkata dalam serbuan pada pukul 11 pagi tadi, pihaknya turut menahan dua warga tempatan masing-masing seorang lelaki dan wanita disyaki ejen klinik berkenaan.
"Semua warga asing yang ditahan berasal dari Vietnam melibatkan tujuh lelaki dan dua wanita. Kesemua mereka, termasuk dua warga tempatan itu dibawa ke Pejabat Imigresen Kuala Lumpur di Jalan Duta bagi tujuan dokumentasi," katanya.
Serbuan itu turut disertai pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur.
Wan Mohamed Saupee berkata rakyat tempatan yang menjadi ejen diberi komisen antara lima hingga 10 peratus daripada jumlah bayaran dikenakan kepada pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan pembedahan di klinik berkenaan.
Bernama yang berkesempatan mengikuti serbuan itu mendapati antara perkhidmatan pembedahan kosmetik yang ditawarkan adalah bagi mencantikkan bahagian hidung, kelopak mata dan menegangkan muka.
Perkhidmatan pembedahan kosmetik itu ditawarkan pada harga antara RM1,000 sehingga RM15,000 menggunakan perkhidmatan 'doktor' lelaki dari Vietnam yang dipercayai tidak mempunyai lesen dan sijil untuk menawarkan perkhidmatan berkenaan di negara ini.
Perkhidmatan itu turut dipromosikan di aplikasi media sosial oleh ejen berkenaan yang memaklumkan pelanggan mereka terdiri daripada rakyat tempatan dan warga asing.
Serbuan turut mendapati bilik utama di kedua-dua unit kondominium yang disewa pada harga RM2,600 sebulan itu dijadikan bilik bedah yang lengkap dengan pelbagai alat pembedahan kosmetik termasuk ubat-ubatan dipercayai diimport.
-- BERNAMA
