IPOH: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak sedang menyiasat dakwaan seorang kanak-kanak perempuan yang didakwa meninggal dunia selepas menerima suntikan di sebuah hospital di Teluk Intan, minggu lalu.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan bagaimanapun berkata, siasatan masih di peringkat awal.

Menurutnya, tiada apa yang perlu disorokkan dan jika ada kesilapan yang telah berlaku, tindakan sewajarnya akan diambil.

“Masih dalam siasatan, siasatan awal dah buat pada hari itu dan mayat si mati pun dah bakar, kata ayah dia.

“Jadi kita tak sorok apa-apa, kita tak untung apa-apa pun, kasihan mereka yang kehilangan anak berusia tiga tahun. Ibu bapanya tahu anak mereka sakit, sangat sakit.

“Saya dan pengarah JKN sangat bersedih dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Taklimat Pengukuhan Penyajian Hidangan Sihat Semasa Mesyuarat dan Perkhidmatan Awam selari Kempen Perangi Gula Negeri Perak

Mengulas lanjut, Sivanesan berkata,  bapa kanak-kanak itu telah menghubunginya pada Ahad dan memaklumkan kejadian itu dimuat naik dalam media sosial oleh kakak iparnya.

Menurutnya, beliau menasihatkan lelaki itu membuat aduan rasmi sekiranya tidak berpuas hati dengan kejadian yang menimpa anaknya.

Lelaki itu juga, katanya, tidak perlu bimbang kemungkinan pihak hospital akan cuba menutup kes berkenaan kerana Kementerian Kesihatan (KKM) akan menghantar doktor luar untuk menjalankan siasatan, sekiranya perlu.

Menurutnya, sehingga Ahad, belum ada sebarang laporan polis dibuat oleh keluarga kanak-kanak itu.