Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Fazilah Shaik Allaudin berkata pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dalam siasatan kes itu.
"(Kes itu) masih lagi dalam siasatan polis dan setakat ini saya belum dapat makluman (doktor itu dibebaskan), mungkin hari ini dibebaskan tetapi saya belum dapat pemaklumkan secara bertulis," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra Bazar Ramadan Batu Kawan bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen di sini pada Selasa.
Ditanya sama ada pegawai perubatan itu akan digantung tugas atau direhatkan selepas dibebaskan, Fazilah berkata pihaknya masih belum dapat memberi kata putus kerana perlu melalui beberapa prosedur susulan kes itu masih dalam siasatan.
Polis menahan pegawai perubatan itu di sebuah hospital di sini pada 9.30 malam 26 Feb, selepas menerima maklumat daripada pihak hospital dan direman sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada 2 Mac.
Bagaimanapun suspek ditahan semula Khamis lepas, selepas disyaki melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi pesakit wanita di sebuah klinik swasta di Pulau Tikus pada 2023, dan polis memperoleh perintah reman hingga hari ini.
Jumaat lepas seorang wanita warga asing membuat laporan polis mendakwa suspek memperdayakannya untuk membuka pakaian ketika melakukan pemeriksaan jantung di hospital tempat doktor itu bertugas pada 20 Feb.
-- BERNAMA
