KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) berjaya menyelamatkan seorang wanita yang sedang dalam proses bersalin ketika kejadian tanah runtuh di Jalan Ranau-Tambunan, Kampung Pahu, Tambunan pada Rabu.

Pengarah JKNS Dr Maria Suleiman dalam kenyataan berkata kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 7.26 pagi itu telah menyebabkan jalan utama terputus, menghalang laluan ambulans dan kenderaan kecemasan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata pasukan kesihatan dari Klinik Desa Tontolob di Liawan yang berhampiran lokasi kejadian bertindak melakukan penilaian awal serta penstabilan pesakit, dan pemeriksaan mendapati pesakit berada dalam fasa aktif proses kelahiran dan memerlukan pemindahan segera ke hospital.

"Susulan itu, pasukan retriever dari Unit Kecemasan dan Trauma, Hospital Daerah Tambunan telah dikerah ke lokasi kejadian dengan sebuah ambulans untuk membantu pemindahan pesakit setelah mendapat panggilan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tambunan. Oleh kerana laluan utama terhalang, pasukan penyelamat mencari alternatif lain bagi memastikan pesakit dapat dipindahkan secepat mungkin," katanya.

Dr Maria berkata dalam usaha ini, anggota IPD Tambunan dengan kerjasama penduduk kampung danorang awam berjaya membantu memindahkan pesakit merentasi kawasan terjejas menggunakan laluan alternatif yang lebih selamat sebelum dibawa ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata sebaik tiba di Hospital Keningau, pesakit segera dimasukkan ke dewan bedah dan menjalani pembedahan kecemasan kerana mengalami tanda-tanda bayi lemas di dalam kandungan.

"Operasi berjalan lancar dan ibu serta bayi kini berada dalam keadaan stabil.

"JKNS merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat dalam operasi penyelamatan itu, yang telah menunjukkan semangat kebersamaan dan dedikasi dalam menyelamatkan nyawa," katanya.

Beliau berkata kejayaan misi ini membuktikan betapa pentingnya kerjasama dan kesiapsiagaan antara pelbagai agensi dalam menghadapi situasi kecemasan.

-- BERNAMA