JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor akan mengambil tindakan membatalkan lesen peniaga tempatan yang dikesan menyewakan tapak bazar Ramadan atau Aidilfitri kepada warga asing.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, ia selaras dengan syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang juga perlu dipatuhi penganjur.

"Di peringkat kerajaan kita tidak mengeluarkan lesen bazar Ramadan dan Aidilfitri kepada warga asing, jika ada 'sewa atas sewa' (kepada warga asing), kita akan batalkan lesen tersebut dengan segera.

"Kalau di peringkat penganjur, sudah tentu mereka kena patuh garis panduan PBT dan pihak kesihatan juga akan buat pemantauan, jika tidak patuh (peraturan) tindakan akan dikenakan," katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Beliau berkata, sebanyak 12,757 petak jualan di 228 lokasi membabitkan 16 PBT di Johor disediakan bagi peniaga bazar Ramadan dan Aidilftiri pada tahun ini.

"Jumlah ini menunjukkan peningkatan berbanding 2024 iaitu sebanyak 12,619 petak jualan di 222 lokasi. Ini bermakna tambahan 138 petak jualan dan 6 lokasi tapak," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Jafni berkata, PBT akan sentiasa berkerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi pemeriksaan serta pensampelan makanan untuk memastikan ia disediakan atau dijual dengan selamat mengikut Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Beliau berkata, kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pula bagi memastikan peniaga mempamerkan tanda harga makanan, minuman serta barangan yang dijual mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. - BERNAMA