JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri tidak akan membenarkan sebarang pelaburan membabitkan pengimportan sisa elektrik dan elektronik (e-waste) ke negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Lee Ting Han.

Beliau berkata langkah itu sejajar dengan polisi sama yang telah digariskan kerajaan Persekutuan.

"Bagi pelaburan berkaitan e-waste, telah ada satu polisi di peringkat kerajaan Persekutuan dan kita (Johor) juga akur dengan polisi tersebut iaitu kita tidak membenarkan pengimportan e-waste ke Johor.

"Oleh itu, dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan, kita sentiasa melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan sekiranya ada mana-mana syarikat, terutamanya kawasan perindustrian memproses e-waste tanpa kelulusan akan diambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Jualan Rahmah (PJR) Salam Ramadan 2025 di Tapak Pasir Khamis Kampung Sungai Tiram di sini hari ini.

Beliau berkata tindakan tegas termasuk menyita, saman dan pendakwaan di mahkamah akan diambil terhadap mana-mana syarikat yang memproses e-waste tanpa kelulusan.

"Bagaimanapun, setakat ini, kita belum ada terima aduan. Sekiranya ada, kerajaan negeri tidak akan menunggu untuk mengambil tindakan," katanya.

Beliau menjelaskan kilang memproses e-waste yang dibenarkan di negeri ini hanya membabitkan e-waste domestik.

-- BERNAMA