PUTRAJAYA: Dalam memantapkan kualiti penyampaian sistem perkhidmatan awam, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bakal melaksanakan penggiliran kerja ke atas semua penjawat awam yang berkhidmat lebih lima tahun di kaunter perkhidmatan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pelaksanaan pusingan kerja itu dijangka bermula secara berperingkat dalam tempoh satu atau dua bulan dan akan melibatkan jabatan serta agensi berkaitan.

Menurutnya, ia adalah bagi memastikan petugas diberi peluang menjalani tugas-tugas yang lebih pelbagai supaya mereka dapat meningkatkan kemahiran dan pengetahuan, terutamanya menjelang peperiksaan kenaikan pangkat.

"Oleh itu saya mohon JPA, boleh tengok semua kakitangan, pegawai kita yang berkhidmat di kaunter perkhidmatan lebih lima tahun, boleh dibuat pusingan kerja.

"Apabila seseorang petugas hanya fokus pada satu tugas tanpa pendedahan kepada operasi sebenar organisasi, kadangkala ia boleh menyebabkan tekanan (akibat berada di posisi sama), jadi kita kena bagi tugasan yang baharu supaya dapat memberi perubahan dalam kerjaya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas  Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara Tahun 2025 yang bertemakan Reformasi: Satu Kemestian, di sini, pada Isnin. 

Menjelaskan lanjut, Shamsul Azri memberitahu, petugas dari jabatan tertentu mungkin akan kekal dalam organisasi mereka tetapi diberi tugasan baru yang relevan.

"Sebagai contoh, petugas di Jabatan Imigresen Malaysia yang tidak boleh ditugaskan keluar dari jabatan tersebut akan terus berkhidmat di bawah jabatan yang sama, namun diberikan tanggungjawab berbeza untuk meningkatkan kompetensi.

"Namun, bagi jabatan yang membenarkan rentas fungsi, petugas boleh dipindahkan ke jabatan lain bagi meluaskan pengalaman dan kemahiran mereka," jelasnya.

Ditanya sama ada JPA akan mengeluarkan pekeliling khas berkaitan proses penggiliran kerja berkenaan, beliau berkata, ia tidak perlu kerana proses penggiliran kerja adalah perkara normal dalam perkhidmatan awam.