PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sentiasa meneroka pendekatan terbaik untuk mengintegrasikan automasi dan transformasi digital bagi memastikan penjawat awam bersedia menghadapi peranan baharu dalam persekitaran kerja yang dinamik.

Jabatan itu memaklumkan usaha pemodenan perlu dirancang dengan teliti untuk memastikan kelangsungan tenaga kerja dalam jangka masa panjang.

"Inisiatif berterusan oleh kerajaan seperti program latihan berasaskan kompetensi dan penerapan digital adalah bukti komitmen JPA dalam mempersiapkan penjawat awam untuk masa hadapan," kata JPA.

JPA mengeluarkan kenyataan itu bagi menyokong cadangan bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin agar kerajaan mempertimbangkan penubuhan Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) seperti dilakukan Amerika Syarikat.

DOGE merupakan sebuah jawatankuasa penasihat yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Elon Musk. Jawatankuasa itu bertujuan mengurangkan perbelanjaan persekutuan bagi memulihkan kecekapan kerajaan dan sejak itu telah meneliti aliran kewangan kerajaan.

JPA menyatakan bersempena Konvensyen ASEAN 2025, pihaknya akan menganjurkan 'Future-Ready Public Service Conference' pada 7 dan 8 Okt 2025, bertujuan memperkukuh daya saing dan kebolehupayaan penjawat awam dalam menghadapi cabaran global.

"Inisiatif ini akan menjadi platform untuk pertukaran pengetahuan, perkongsian amalan terbaik serta kerjasama serantau dalam membentuk perkhidmatan awam yang lebih inovatif, responsif dan mampan," mengikut kenyataan itu.

JPA memaklumkan jabatan itu telah lama memberi keutamaan kepada kecekapan dan secara proaktif melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan keupayaan tenaga kerja melalui program mengasah semula kemahiran, peningkatan kemahiran, mempelbagaikan kemahiran, menguasai kemahiran baharu serta penempatan semula secara strategik.

Jabatan itu juga sentiasa terbuka kepada perbincangan yang membina dan menerima pandangan daripada pelbagai pihak termasuk sektor swasta bagi memperkukuhkan kecekapan perkhidmatan awam tanpa menjejaskan matlamat utamanya untuk berkhidmat kepada rakyat.

"JPA menghargai minat masyarakat terhadap isu ini dan akan terus berusaha memastikan perkhidmatan awam yang cekap dan berdaya maju, selaras dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam yang sedang dilaksanakan," menurut kenyataan itu.


-- BERNAMA