PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam proses memuktamadkan bilangan kakitangan yang akan terlibat dalam penggiliran kerja petugas kaunter membabitkan 1,907 kakitangan di seluruh negara, kata Ketua Pengarahnya Datuk Aedy Fadly Ramli.

Beliau berkata proses berkenaan melibatkan kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk petugas yang menggunakan skim guna sama, manakala bagi petugas yang tidak menggunakan skim berkenaan, penggiliran akan diuruskan secara dalaman oleh JPJ.

"Untuk anggota guna sama kita akan serahkan senarai nama kepada JPA untuk dibuat penggiliran manakala untuk bukan guna sama di bawah JPJ, ia akan diuruskan JPJ sendiri untuk pertukaran," katanya kepada Bernama selepas meninjau urusan kaunter di pejabat JPJ Putrajaya di sini hari ini.

Aedy Fadly berkata JPJ telah memulakan inisiatif berkenaan sejurus mendapat amanat Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada 20 Jan lepas, bagaimanapun penggiliran berkenaan dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan kelancaran perkhidmatan.

Shamsul Azri pada 20 Jan lepas dilaporkan mengarahkan JPA untuk meneliti dan melaksanakan pusingan kerja membabitkan penjawat awam yang berkhidmat lebih lima tahun di kaunter perkhidmatan dan menyifatkan tempoh lima tahun bertugas di kaunter adalah terlalu lama dan tidak bersesuaian.

Selaras dengan saranan berkenaan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz semalam berkata pelaksanaan inisiatif Pusingan Kerja Petugas Kaunter yang melibatkan semua kementerian termasuk JPA telah bermula 4 Feb, bagi memperkukuh kualiti perkhidmatan awam dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan di kaunter.

Menurut Aedy Fadly petugas JPJ yang telah bertugas lebih lima tahun di kaunter dijangka dipindahkan ke tugasan pejabat dan tidak lagi ditempatkan di bahagian kaunter, begitu juga sebaliknya untuk yang sedang melakukan tugasan pejabat.

"Proses ini tidak boleh secara serentak, ia perlu mengambil masa kerana melibatkan terlalu ramai petugas yang akan dibuat penggiliran.

"Setakat ini, petugas JPJ memang bersedialah kalau berlaku (penggiliran). Mereka amat memahami memang termaktub di dalam Pekeliling Perkhidmatan Awam bahawa mana-mana anggota, pegawai yang bertugas di satu-satu tempat melebihi lima tahun boleh dibuat penggiliran kerja," katanya.

Menyambut baik inisiatif penggiliran tugas itu khususnya bagi JPJ, beliau berkata pelaksanaannya diharap memberi peluang kepada petugas kaunter untuk memperoleh pengalaman baharu di pelbagai bidang.

"Begitu juga bagi yang belum pernah bertugas di kaunter, mereka juga boleh menimba pengalaman baharu berbekalkan latihan insentif yang akan diberikan," katanya.

-- BERNAMA