ALOR SETAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah berjaya mengutip RM101,300 daripada 352 saman yang dikeluarkan terhadap kenderaan Thailand dalam ‘Op Tunggak’ yang dijalankan sejak Disember 2024.

Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, kutipan tertinggi direkodkan terhadap seorang pemandu dan pemilik van Thailand berusia 45 tahun yang terpaksa melunaskan saman sebanyak RM17,700 atas pelbagai kesalahan termasuklah menyalahgunakan International Circulation Permit (ICP), tiada lesen memandu dan berkaitan kesalahan teknikal.

“Kita kutip RM17,700 daripada seorang pemandu kesalahan guna ICP, kesalahan lampau dia banyak saman dikeluarkan yang tidak dibayar sehingga tertunggak daripada 2013.

“Saman itu tertunggak bila kita dapat tangkap kita semak rekod ada saman tertunggak kita mintak dia bayar (lamsam) sekali gus kita tak tak bagi bayar ansuran kita suruh dia bayar lamsam sebelum kita bagi dia balik ke negara asal,” katanya selepas menyertai Op Khas Tahun Baharu Cina (TBC) 2025 di Terminal Bas Shahab Perdana, di sini malam tadi.

Katanya, lelaki itu ditahan di lebuhraya sebelah Changlun, dan apabila pemeriksaan dilakukan pemandu terbabit memiliki saman tertunggak.

Sejak operasi berkuatkuasa bermula 20 Januari hinggga semalam, sebanyak 10,656 kenderaan diperiksa dengan 1,864 saman telah dikeluarkan, manakala 15 kenderaan turut disita.

Katanya, motosikal masih mencatakan kesalahan tertinggi diikuti motokar dan lain-lain kenderaan atas pelbagai kesalahan.

Katanya, sebanyak tiga kes telah diambil tindakan terhadap pemandu bas kerana kesalahan menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tiada pemandu kedua dan memotong di garisan berkembar.

Jelas Van Lutam, JPJ akan terus memberi fokus kepada sembilan kesalahan utama yang dikenalpasti menjadi punca kepada kes kemalangan antaranya tidak mematuhi had laju, tidak mematuhi lampu isyarat lalulintas lampu merah dan memotong digarisan berkembar.