MELAKA: Nilai kerugian akibat kebakaran di Melaka sepanjang tahun lepas mencatatkan penurunan kepada RM25.7 juta berbanding RM50.1 juta tempoh sama pada 2023.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Mohd Pisar Aziz berkata 2024 juga merekodkan kira-kira RM331.49 juta jumlah harta berjaya diselamatkan daripada bencana itu.

"Penurunan jumlah kerugian akibat kebakaran ini juga menunjukkan kesedaran awam kian meningkat mengenai kepentingan terhadap langkah keselamatan kebakaran ketika berada di rumah dan premis (perniagaan).

"Ini juga dibantu menerusi program dan kempen dijalankan bersama masyarakat yang dilihat memberi impak besar dalam komuniti untuk melakukan pencegahan awal seterusnya menyelamatkan nyawa serta harta benda jika berlaku kebakaran," katanya kepada pemberita di Dataran Ayer Keroh di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan Sempena Op Tahun Baharu Cina 2025 JBPM Melaka yang disempurnakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Mohd Pisar berkata tahun lepas juga, JBPM Melaka menerima sejumlah 5,081 kes panggilan kecemasan berbanding 4,494 kes pada 2023 selain empat panggilan palsu diterima tahun lalu berbanding hanya satu panggilan palsu pada tahun sebelumnya.

Dalam pada itu beliau berkata pihak bomba negeri juga akan meningkatkan tahap kesiapsiagaan pada musim cuti perayaan iaitu membuat rondaan di jalan raya terutama di kawasan lokasi 'panas' sering berlaku kemalangan.

"Selain itu kita juga membuat pemeriksaan di premis tumpuan seperti pusat beli-belah dan melakukan rondaan lebih kerap di pantai peranginan di negeri ini yang terdapat aktiviti air dan perrkelahan," katanya.

-- BERNAMA