KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Johor yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat manakala di Sarawak menunjukkan pengurangan setakat malam ini.

Di SARAWAK, Sekretariat Pengurusan Bencana Sarawak memaklumkan jumlah mangsa berkurangan kepada 5,125 orang berbanding 5,281 petang tadi dengan Sarikei menjadi bahagian terbaru terjejas menyaksikan sebuah lagi PPS dibuka menjadikan keseluruhan 30 PPS beroperasi setakat ini.

Sebanyak 1,865 mangsa di Bintulu masih berlindung di PPS setakat malam ini berbanding 1,889 mangsa petang tadi, diikuti Miri dengan 1,217 mangsa berbanding 1,291 sebelum ini.

Di Sibu, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 876 berbanding 848 orang sebelum ini, Serian kekal dengan 507 mangsa, manakala Samarahan berkurangan kepada 149 mangsa berbanding 294 orang petang tadi.

Selain itu, di Mukah menyaksikan peningkatan mangsa kepada 501 orang berbanding 452 petang tadi sementara di Sarikei menempatkan 10 mangsa daripada dua keluarga malam ini.

Di SABAH, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa bertambah kepada 228 orang daripada 60 keluarga setakat malam ini berbanding 201 mangsa daripada 53 keluarga petang tadi.

Kinabatangan adalah satu-satunya daerah yang masih dilanda banjir dengan dua PPS dibuka iaitu PPS Sekolah Kebangsaan Sukau menempatkan 73 mangsa daripada 20 keluarga dan PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Garam merekodkan 155 mangsa daripada 40 keluarga.

Di JOHOR, negeri terbaru dilanda banjir merekodkan peningkatan jumlah mangsa kepada 364 orang malam ini berbanding 349 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata kesemua mangsa daripada 106 keluarga itu ditempatkan di tiga PPS yang beroperasi di daerah Kota Tinggi.

"PPS yang diaktifkan ialah Dewan Muafakat Taman Desaru Utama dengan 173 mangsa, Dewan Kampung Baru Sungai Mas (34) dan Sekolah Kebangsaan Bandar Penawar (157).

"Kawasan yang terjejas melibatkan Taman Desaru Utama, Kampung Baru Sungai Mas dan Taman Penawar Harmoni," katanya dalam kenyataan hari ini.

-- BERNAMA