M. Thanendran, 36, didakwa menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak berumur enam tahun 10 bulan itu di sebuah kondominium di Brickfields di sini pada 6 petang, 25 Ogos 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Mohamed Zanyuin mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa.
Bagaimanapun, peguam R. Mageswaran memohon jaminan lebih rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga dan isterinya sedang hamil.
Hakim Izralizam Sanusi membenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan 19 Mac ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
