Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Salahuddin Isa berkata dua anjing pengesan itu, Lady dan Grouse dibawa untuk mengesan mangsa, Ahmad Khairul Nizam Sudin, 22, dengan kaedah pencarian di tebing dan sungai.
Beliau berkata operasi pada hari kedua itu disertai 25 pegawai dan anggota JBPM, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bukit Angin, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam.
"Pasukan bomba melakukan pencarian di permukaan air dengan bot dan jalan darat serta menghilir menggunakan peranti pengapungan peribadi (PFD) manakala PPDA menyelam di tiga kawasan yang dikenal pasti di lubuk sungai iaitu di sekitar mangsa dilihat jatuh.
"Unit K9 diatur gerak bersama pengendali semasa operasi SAR pencarian di permukaan air dengan bot pada jarak 2.5 kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat jatuh," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata operasi yang mendapat kerjasama penduduk kampung ditangguhkan pada 8 malam tadi dan akan bersambung pagi ini.
Pada Selasa, Ahmad Khairul Nizam bersama abangnya yang berusia 23 tahun mandi di sungai itu sebelum menaiki bot dan kemudiannya gagal mengimbangi diri, lalu terjatuh dan dipercayai hanyut dibawa arus sungai.
-- BERNAMA