Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pada masa sama, kebolehpasaran graduan daripada institusi TVET di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) pula pada kadar 98.7 peratus.
Beliau berkata jumlah pelajar menyertai bidang TVET pada tahun lepas juga meningkat kepada lebih 423,000 peserta berbanding 407,000 pada 2023.
"Menerusi segala langkah pemantapan TVET yang dilaksanakan Majlis TVET Negara (MTVETN), sikap serta pemikiran (sentimen) ibu bapa serta pelajar sudah bertukar dan semakin mempercayai bidang TVET.
"Kerajaan komited dan menekankan pemodenan terutama dalam pendigitalisasi TVET dengan meningkatkan infrastruktur digital, teknologi pembelajaran menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan Internet pelbagai benda (IOT) serta program lain termasuk memperluas latihan profesional kepada tenaga pengajar," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Dewan Rakyat hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi MTVETN berkata berpandukan Dasar TVET Negara 2030, kerajaan melaksanakan usaha pemantapan institusi dan kurikulum berasaskan keperluan industri, meningkatkan kemahiran tenaga pengajar, penglibatan industri bagi pelaksanaan latihan dan pemodenan alat bantuan mengajar bagi memastikan graduan TVET kekal kompetitif dalam pasaran kerja.
Selaras usaha itu, katanya Kod Amalan Akreditasi Program TVET (COPTPA) diwujudkan sebagai garis panduan bagi memastikan kursus TVET yang ditawarkan menepati piawaian dan keperluan industri.
Mengenai FELDA, Ahmad Zahid berkata sejak Oktober 2023, agensi itu menaikkan kadar pendapatan minimum peneroka daripada RM120 kepada RM150 per ekar bagi membantu menampung peningkatan kos sara hidup.
Beliau berkata pendapatan berkenaan adalah kadar bersih selepas ditolak kos operasi, hutang dan caruman.
Selain itu, katanya kerajaan sedang mengusahakan program perumahan generasi baharu FELDA dengan mendapatkan peruntukan khas bagi membolehkan lebih ramai generasi peneroka memiliki kediaman sendiri.
-- BERNAMA
