KUALA LUMPUR: Kadar pelaburan yang berjaya direalisasikan di Malaysia bagi tempoh 2018 sehingga Jun 2023 mencecah hampir 80 peratus, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata, bagi tempoh sama, jumlah pelaburan diluluskan bernilai RM753.9 bilion bagi sektor perkilangan dan perkhidmatan di bawah seliaan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
"Daripada jumlah itu, sebanyak RM593.5 bilion atau 78.7 peratus telah direalisasikan dalam tempoh tersebut. Pelaburan ini melibatkan sebanyak 9,201 projek yang akan menjana sejumlah 455,984 peluang pekerjaan baharu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Mengulas selanjutnya, Tengku Zafrul berkata bagi tempoh Januari sehingga Jun 2023, Malaysia telah menarik sejumlah RM132.6 bilion pelaburan diluluskan dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama yang merupakan 60 peratus daripada sasaran bagi 2023.
"Pelaburan langsung domestik (DDI) merupakan penyumbang utama dengan jumlah pelaburan yang diluluskan bernilai RM69.3 bilion (52.2 peratus) manakala pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM63.3 bilion (47.8 peratus)," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kementerian sentiasa melaksanakan perancangan teliti dari semasa ke semasa, khususnya dalam usaha menambah baik aspek berkaitan memudah cara kemasukan serta dalam merealisasikan pelaburan-pelaburan terbabit.
Ini termasuk melaksanakan pendekatan dalam membuat reformasi pentadbiran melalui penubuhan Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP) di bawah kementerian itu.
"JTPPP telah bersidang pertama kalinya pada 16 Oktober 2023 yang dipengerusikan oleh saya. Mesyuarat kedua pula akan diadakan esok iaitu 1 November 2023 (Rabu).
"Secara umumnya, JTPPP ini berperanan sebagai platform memantau dan melaksanakan tindakan terhadap isu-isu dihadapi oleh para pelabur, terutama bagi projek pelaburan strategik dan ikonik. Pemantauan JTPPP bermula seawal daripada (peringkat) permohonan diutarakan oleh syarikat berkenaan sehinggalah projek-projek pelaburan itu direalisasikan," katanya.
Malah, beliau menyifatkan penubuhan JTPPP sebagai inisiatif reformasi pentadbiran, menzahirkan komitmen kerajaan dalam usaha menjadikan perancangan sebagai kenyataan, sekali gus mendokong peranan Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang juga majlis berkaitan pelaburan di peringkat tertinggi negara.
Menyentuh aspek berkaitan kenderaan elektrik (EV), Tengku Zafrul berkata pelbagai galakan dan insentif telah dilaksanakan yang bukan setakat menarik pelaburan dalam sektor itu, malah memberi manfaat kepada rakyat.
"Insentif ditawarkan merangkumi pengecualian cukai langsung dan tidak langsung. Bagi cukai langsung, kerajaan menawarkan pengecualian cukai pendapatan melalui Galakan Taraf Perintis atau Elaun Cukai Pelaburan sehingga 100 peratus bagi tempoh sehingga 10 tahun untuk mengalakkan pelaburan dalam pengeluaran EV dan komponen kritikal berkaitan seperti bateri, motor dan lain-lain.
"Insentif cukai tidak langsung adalah seperti duti import, duti eksais dan cukai jualan," katanya.
Menurut Tengku Zafrul, bagi mendorong penggunaan EV, kerajaan turut menawarkan insentif secara langsung kepada pemilik kenderaan itu seperti pengecualian penuh cukai jalan sama ada EV dipasang secara tempatan atau diimport selama empat tahun sehingga 31 Disember 2025.
Kerajaan turut menawarkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 bagi kos pemasangan, sewaan, pembelian termasuk sewa beli peralatan atau yuran langganan kemudahan pengecasan EV untuk tahun taksiran 2022-2023.
"Di bawah Belanjawan 2024, tempoh galakan ini telah dilanjutkan selama empat tahun lagi sehingga tahun taksiran 2027," katanya.
Beliau berkata, Belanjawan 2024 turut menyaksikan kerajaan memperkenalkan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik dengan rebat sehingga RM2,400 bagi membantu pengguna beralih kepada motosikal elektrik.
-- BERNAMA
Bernama
Tue Oct 31 2023

Tengku Zafrul menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di Dewan Rakyat, pada Selasa. - Foto fail/JAPEN

JK HARMONI bincang kaedah terbaik perkukuh perpaduan - Mohd Na'im
JK HARMONI mencari jalan dan memberikan pandangan kepada kerajaan tentang kaedah terbaik untuk memperkukuh perpaduan masyarakat.

Jemaah haji diingat dapatkan vaksin COVID-19
Jemaah haji berumur 65 tahun ke atas serta mereka yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi diingatkan untuk mendapatkan vaksin COVID-19.

G20 mesti terus perjuangkan penyelesaian diplomatik kepada konflik
Presiden Afrika Selatan gesa G20 untuk terus memperjuangkan penyelesaian diplomatik kepada konflik di seluruh dunia.

Jaringan tunggal Faizal bawa THT ke final Piala TNB
THT di landasan tepat untuk merangkul gelaran treble Liga Hoki Malaysia2025, selepas terlebih dahulu menjulang Piala Sumbangsih serta menjuarai liga buat kali ketujuh.

Ambilan kohort pertama program DBA pada Julai depan - Ewon
Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) akan memulakan pengambilan kohort pertama program Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) pada Julai depan.

FGV sasar pasaran eksport China menerusi PIP
FGV menyasarkan untuk mengeksport hasil pertanian ke China menerusi projek perladangan bersepadu bernilai tinggi berskala besar Lembah Agro Chuping FGV (FCAV).

Kutipan zakat di Kelantan meningkat 15 peratus pada 2024 - MAIK
Jumlah kutipan zakat di Kelantan tahun lepas meningkat 15 peratus kepada RM296.52 juta, berbanding RM257.09 juta pada 2023.

Pulau Pinang catat 7,852 kes penipuan dalam talian, kerugian RM312.86 juta
Jenayah penipuan membabitkan telekomunikasi mencatatkan kes tertinggi, iaitu 2,938 kes dengan kerugian berjumlah RM101.5 juta.

Tindakan tegas ke atas peniaga jual semula tapak bazar Ramadan - MBAS
Tindakan tegas juga ke atas perbuatan membatalkan tapak jualan mereka dan membukanya untuk disewa kepada peniaga lain.
10 Berita Pilihan - (20 Februari 2025)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.

Kadar pelaburan direalisasikan cecah hampir 80 peratus - Tengku Zafrul
Bagi tempoh sama, jumlah pelaburan diluluskan bernilai RM753.9 bilion bagi sektor perkilangan dan perkhidmatan di bawah seliaan MIDA.