WASHINGTON: Kanada akan mengenakan tarif timbal balas sebanyak 25 peratus ke atas import tambahan bernilai US$29.8 bilion dari Amerika Syarikat (AS), termasuk komputer, peralatan sukan dan produk besi tuang, kata Menteri Kewangan Kanada, Dominic LeBlanc pada Rabu.

"Hari ini, saya mengumumkan bahawa Kerajaan Kanada, mengikut pendekatan dolar-untuk-dolar, akan mengenakan tarif timbal balas sebanyak 25 peratus ke atas import tambahan bernilai US$29.8 bilion dari AS, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam esok, 13 Mac 2025.

"Ini termasuk US$12.6 bilion produk keluli, US$3 bilion produk aluminium dan tambahan US$14.2 bilion import lain dari AS. Antara produk yang terkesan ialah komputer, peralatan sukan dan produk besi tuang," kata LeBlanc dalam sidang akhbar, menurut laporan RIA Novosti.

Menteri Hal Ehwal Luar Kanada, Melanie Joly pula berkata. beliau telah memberi amaran kepada rakan sejawatnya di Eropah bahawa Kanada adalah seperti "burung kenari dalam lombong arang batu," memberi isyarat bahawa tiada negara yang selamat daripada tarif AS.

"Para menteri luar sedang bermesyuarat di Charlevoix, Quebec. Saya akan bertemu dengan Setiausaha Negara AS Marco Rubio serta rakan sejawat saya dari Eropah dan Britain.

"Dalam setiap pertemuan, saya akan membangkitkan isu tarif untuk menyelaras tindak balas bersama dengan Eropah dan memberi tekanan ke atas AS," katanya.

-- BERNAMA