PUTRAJAYA: Seorang kanak-kanak cedera apabila dilanggar sebuah kenderaan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11 (1), pada Khamis.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 4.55 petang, melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.

Katanya, ekoran kejadian itu, sepasukan bomba dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Presint 7 dengan kekuatan sembilan orang telah bergegas ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan tiga buah motosikal Unit Rapid Intervention Motorcyle (RIM).

"Sebelum ketibaan pasukan bomba, anggota bomba dalam pelepasan tugas, Abdul Halim Sidqi berada di tempat kejadian.

"Beliau telah meminta kerjasama orang awam untuk terbalikkan kenderaan bagi mengeluarkan mangsa yang berada di bawah kenderaan," kata kenyataan itu semalam.

Menurutnya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan rawatan lanjut dan operasi tamat jam 5.29 petang. - Sinar Harian