Ringkasan AI
- Kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun, Mohammad Rayyan Alif Mohd Sharif, yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam longkang di Taman Kota Jaya, ditemukan terapung di Sungai Johor pada pagi Rabu.
- Pasukan mencari dan menyelamat berjaya menemukan mayat mangsa setelah usaha pencarian diteruskan pada Rabu.
- Waris mangsa telah mengesahkan identiti mangsa, dan mayatnya dibawa ke Bahagian Forensik, Hospital Kota Tinggi untuk tindakan prosedur siasatan.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, mayat Mohammad Rayyan Alif Mohd Sharif ditemukan sekitar jam 10.20 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat.
“Mayat mangsa yang lengkap berpakaian ditemui terapung di atas permukaan air oleh pasukan mencari dan menyelamat yang menyusuri Sungai Johor menggunakan bot.
“Waris mangsa telah mengesahkan mangsa merupakan ahli keluarga mereka yang dilaporkan hilang sebelum mayatnya dibawa ke Bahagian Forensik, Hospital Kota Tinggi untuk tindakan prosedur siasatan," katanya.
Kes diklasifikasikan di bawah Laporan Mati Mengejut (SDR).
Terdahulu usaha mengesan mangsa diteruskan pada Rabu setelah dihentikan pada jam 8 malam Selasa.
Usaha pencarian melibatkan seramai 44 petugas dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Kota Tinggi, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), Unit K9 Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Turut sertai operasi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kelantan.
Isnin lalu media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas dipercayai setelah terjatuh ke dalam longkang di Taman Kota Jaya ketika mahu mengambil selipar yang terjatuh di dalam longkang berkenaan. -- Sinar Harian