Ringkasan AI
- Taska di Shah Alam yang terlibat dalam kes penderaan kanak-kanak autistik didapati beroperasi tanpa mengikut peraturan, didaftarkan sebagai tadika dan tidak dibenarkan menerima kanak-kanak berumur empat tahun ke bawah.
- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengeluarkan notis larangan beroperasi kepada pengusaha tadika tersebut dan meminta mereka hadir ke pejabat JKM Negeri Selangor untuk maklumat lanjut. Kes ini juga dirujuk kepada Pejabat Pendidikan Daerah untuk tindakan selanjutnya.
- Siasatan polis dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 selepas laporan dibuat oleh ibu mangsa yang mendapati kesan kemerahan di belakang badan dan bawah mata kanan anaknya.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan dalam kenyataan bahawa pemeriksaan awal mendapati premis terbabit didaftarkan sebagai tadika dan tidak dibenarkan beroperasi sebagai taska serta menerima kanak-kanak berumur empat tahun ke bawah.
"JKM telah mengeluarkan notis larangan beroperasi kepada pengusaha tadika itu kerana kesalahan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak.
"Pihak JKM juga telah meminta pengusaha tadika itu untuk hadir ke pejabat JKM Negeri Selangor bagi mendapatkan maklumat susulan berkaitan kes ini," menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Menurut JKM, kes dirujuk kepada Pejabat Pendidikan Daerah untuk tindakan selanjutnya.
JKM mengeluarkan kenyataan itu susulan siasatan terhadap aduan yang dibuat ibu bapa seorang kanak-kanak autistik yang mendakwa anak mereka didera di premis terbabit.
Semalam, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan menerima laporan dan telah menjalankan siasatan berhubung kes itu.
Beliau berkata laporan mengenai kejadian itu dibuat oleh ibu mangsa pada 11.18 pagi, 16 Jan lepas, yang memaklumkan bahawa suaminya menemukan kesan kemerahan di belakang badan serta bawah mata kanan mangsa.
Siasatan polis dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
-- BERNAMA
