KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun meninggal dunia disyaki akibat didera oleh kedua ibu bapanya di Kajang, Selangor.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada pihak Hospital Kajang, jam 1.11 pagi, pada Rabu.

Katanya, pihak hospital memaklumkan menerima seorang pesakit kanak-kanak perempuan warga tempatan di bawa oleh ibu bapa mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan telah disahkan meninggal dunia di Wad Kecemasan Zon Merah hospital berkenaan.

"Bedah siasat telah dijalankan pada rabu jam 12.30 tengah hari di Unit Forensik dan hasilnya mendapati terdapat banyak tanda kesan dera lama dan baharu pada fizikal mangsa.

"Punca kematian mangsa adalah disebabkan oleh kecederaan di perut akibat objek tumpul," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Sehubungan itu, Naazron berkata, kedua ibu bapa mangsa yang berusia 30 hingga 40an telah ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan dan akan direman di Mahkamah Kajang pada Khamis.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun.

"Sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan yang tidak kurang 12 sebatan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes ASP Nur Ayuni Abd Aziz di talian 016-2080717," katanya.