KUALA LUMPUR: Susulan insiden penerbitan kandungan kurang sensitif sehingga menyakiti hati dan mengundang kekecewaan pelbagai pihak, pihak Astro Audio telah menggantung tiga penyampai radio Era FM iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin.

Selain itu, pihak pengurusan Astro berkata, dua lagi kakitangan radio berkenaan turut dikenakan tindakan yang sama.

Ia berkata, tindakan tersebut diambil selaras dengan siasatan dalaman yang sedang dijalankan, selain pertemuan Ketua Pegawai Eksekutif, dan pengurusan tertinggi Astro Audio dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada Selasa.

“Pihak Astro Audio sekali lagi melahirkan kekesalan di atas insiden yang telah menyakiti hati dan mengundang kekecewaan pelbagai pihak melibatkan tiga penyampai radio ERA.

“Kami amat menghargai maklum balas, teguran dan nasihat dari pelbagai pihak dan akan sentiasa memastikan kandungan disiarkan mematuhi kesemua garis panduan dan keperluan ditetapkan.

"Terima kasih di atas sokongan dan keprihatinan anda,” menurut kenyataan itu lagi.


Dalam satu kenyataan awal, Astro Audio berkata, para penyampai yang terlibat telah mengakui kesilapan mereka dan telah mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka.

Sebagai sebuah syarikat penyiaran bertanggungjawab, Astro Audio memandang serius perkara ini dan selepas pertimbangan yang teliti, ia memutuskan untuk merehatkan ketiga-tiga individu tersebut dari ke udara sehingga diberitahu kelak.

“Astro Audio komited terhadap kepercayaan para pendengar kami serta memastikan persekitaran media dihormati dan menyeluruh. Kami sedang mengambil langkah memperkukuh proses semakan kandungan bagi memastikan program dihasilkan mencerminkan nilai dan jangkaan audiens kami.

“Kami sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan penuh terhadap kesemua garis panduan dan keperluan yang ditetapkan. Kami amat menghargai maklum balas dari para pendengar dan pemegang taruh serta akan terus mendengar, belajar, dan memperbaiki diri,” menurut kenyataan itu lagi.