KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan 31 kes cubaan membawa masuk senjata api ringan tiruan ke negara ini sepanjang tahun lepas, membabitkan nilai rampasan RM1.8 juta.

JKDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan daripada jumlah kes itu, empat kes melibatkan pengimportan senjata api tiruan melalui perkhidmatan Pos Malaysia, dengan tiga kes di Sarawak dan satu kes di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Semua bungkusan ke Pusat Mel dan Kurier (PMK) akan diimbas secara 100 peratus dan seterusnya melalui proses isihan dengan kehadiran Pegawai Kastam dan Pegawai Pos Malaysia. Sekiranya terdapat bungkusan yang dikesan mengandungi barang larangan, maka bungkusan itu akan dirampas," menurut kenyataan berkenaan.

Kenyataan itu menyebut modus operandi pengimportan barangan larangan termasuk senjata api tiruan adalah dengan membuat pengikraran secara tidak betul atau tidak benar atau secara palsu.

Menurut kenyataan itu, JKDM sentiasa memandang serius isu penyeludupan senjata api dan mengambil langkah proaktif untuk membendung kemasukan senjata api yang tidak mempunyai permit import sah.

JKDM secara aktif menyertai operasi antarabangsa berkaitan kawalan ke atas senjata api di pintu masuk negara seperti operasi GS APSP II (Global Shield) dan Operasi SALW APSP (Small Arms and Light Weapon, Asia Pacific Security Project).

Selain itu, JKDM juga bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pos Malaysia International Hub (PMIH), Pihak Berkuasa Zon dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

JKDM memaklumkan beberapa siri libat urus telah diadakan bagi memastikan barang-barang larangan seperti dadah, hidupan liar, senjata api tidak diimport atau dieksport ke atau dari Malaysia.

-- BERNAMA