JELI: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan bertindak sebagai pemudah cara untuk memastikan kelancaran perhimpunan antirasuah yang dijadualkan berlangsung esok di Kuala Lumpur, kata Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata langkah itu sejajar dengan komitmen kerajaan untuk menghormati hak kebebasan berhimpun seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kami di KDN akan memastikan himpunan ini berjalan dengan lancar, kerana kerajaan ini menghormati prinsip kebebasan berhimpun dan bersuara.

"Tuduhan bahawa kerajaan ini cuba menyekat kebebasan itu tidak berasas. Sebaliknya, kita hanya memastikan semua pihak memahami tanggungjawab masing-masing berdasarkan peruntukan undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Baharu Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli, di sini, hari ini.

Saifuddin Nasution juga menekankan bahawa Akta Perhimpunan Aman menjadi rujukan utama dalam memastikan keseimbangan antara kebebasan berhimpun dan aspek keselamatan.

"Akta ini memperjelas tanggungjawab peserta, penganjur, serta pihak polis. Saya telah berbincang dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, dan pasukan polis akan bertindak sebagai pemudah cara untuk memastikan perhimpunan ini berlangsung dengan selamat.

"Saya ingin mengingatkan penganjur dan peserta agar mematuhi semua peraturan yang ditetapkan, termasuk larangan membawa senjata tajam dan membawa kanak-kanak di bawah umur ke perhimpunan," katanya.

Beliau berkata perkara itu penting untuk memastikan perhimpunan tersebut berlangsung secara aman dan teratur, serta penganjur perlu memastikan tanggungjawab mereka dipatuhi sepenuhnya.

Saifuddin Nasution memberi jaminan bahawa sebarang tindakan pihak berkuasa adalah untuk menjaga ketenteraman awam, bukan untuk menyekat kebebasan bersuara.

Beliau berkata KDN komited untuk memastikan ruang demokrasi terus dihormati dalam kerangka undang-undang yang ada.

Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata beliau tidak mempunyai sebarang masalah terhadap perhimpunan bertemakan 'Rakyat Benci Rasuah' yang dijadual berlangsung esok, sambil menekankan komitmennya dalam memerangi gejala rasuah di semua peringkat.

Turut hadir sama pada majlis penyerahan itu Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat.

-- BERNAMA