PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan bahawa keadaan keselamatan negara terkawal dan sebarang ancaman akan ditangani dengan tegas.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya komited dalam memastikan keselamatan rakyat berada pada tahap tertinggi, seiring dengan cabaran keselamatan yang semakin kompleks. 

Katanya, keselamatan awam dan ketenteraman negara kekal menjadi keutamaan KDN dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada dalam keadaan kesiapsiagaan terbaik bagi menangani ancaman jenayah.

Beliau turut mendedahkan dalam satu kejayaan terbaru, pihak polis berjaya memprofilkan suspek dalam tempoh singkat, yang membawa kepada penahanan individu dengan lapan rekod jenayah lampau. 

“Ini membuktikan kecekapan pasukan PDRM dalam bertindak pantas dan berkesan menangani jenayah,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan KDN di Putrajaya hari ini. 

Berhubung isu pemilikan senjata api, beliau menegaskan bahawa kawalan ketat terus dilaksanakan. 

“Pemilikan senjata api tanpa lesen adalah kesalahan berat.

"Proses permohonan lesen sangat ketat, dan hanya sebilangan kecil diluluskan dengan justifikasi kukuh.

"Dalam 100 rayuan, secara purata hanya tiga diluluskan misalnya untuk menjaga kebun,” jelasnya. 

Menyentuh berkenaan kes melibatkan warga Israel yang memiliki senjata api secara haram, beliau memaklumkan kes itu kini dalam proses pendakwaan dan tidak mencerminkan ancaman keselamatan nasional secara menyeluruh.