PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan komitmennya dalam memperkukuh kerjasama serantau menerusi kluster keselamatan ASEAN, seiring dengan peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya memberi tumpuan kepada 10 agenda utama, termasuk menangani jenayah rentas sempadan dan ancaman jenayah siber yang semakin meningkat. 

“Jenayah rentas sempadan seperti pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah dan jenayah terancang tidak boleh ditangani secara bersendirian.

"ASEAN mengakui keperluan kerjasama serantau melalui perkongsian risikan, peningkatan kapasiti dan operasi bersama,” katanya pada sidang media Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di Putrajaya hari ini.

Beliau turut memaklumkan Mesyuarat Menteri-Menteri Keselamatan ASEAN akan diadakan di Melaka pada September depan, dengan mesyuarat pegawai kanan telah pun bermula. 

Selain itu, KDN juga menjadikan jenayah siber sebagai keutamaan, termasuk penipuan atas talian yang semakin berleluasa bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di seluruh rantau ini.

“Kita akan terus memperkukuh keupayaan ASEAN dalam menangani ancaman digital yang semakin sofistikated,” tambahnya. 

Ujarnya, mesyuarat keselamatan ASEAN akan terus menjadi platform utama dalam menyelaras langkah-langkah keselamatan serantau bagi memastikan kestabilan dan kesejahteraan bersama.  //ends