PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyediakan satu memorandum Jemaah Menteri susulan keputusan kerajaan untuk meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736), kata Menteri berkenaan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.


Ringkasan AI
  • Kerajaan akan meminda Akta Perhimpunan Aman 2012, termasuk menghapuskan keperluan persetujuan pemilik lokasi dan hanya memerlukan notis kepada polis lima hari sebelum perhimpunan.
  • KDN sedang menyediakan memorandum dan akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan sebelum membentangkan pindaan di Parlimen.
  • Kerajaan MADANI tidak menyekat perhimpunan awam, dengan 99% perhimpunan pada 2024 dibenarkan tanpa halangan.


Saifuddin Nasution berkata beliau telah meminta Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Awang Alik Jeman membantu aspek penyediaan memorandum Jemaah Menteri, selain perkara itu akan disusuli sesi libat urus dengan pihak berkepentingan.

"Apabila Jemaah Menteri setuju, kami akan buat libat urus dengan semua pihak berkepentingan termasuk aktivis himpunan aman, Ahli Parlimen, kemudian kita akan olah metrik pindaan dan kita akan bentang di Parlimen," katanya.

Saifuddin Nasution berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Anugerah Inovasi Pendaftaran Negara 2024 di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersetuju meminda Akta 736 bagi memudahkan dan membantu pelaksanaan sebarang perhimpunan aman di negara ini.

Beliau berkata pindaan yang dijadualkan pada sesi Parlimen akan datang itu, antara lain akan mengeluarkan Seksyen 11 akta berkenaan yang melibatkan keperluan persetujuan pemunya atau pemilik lokasi perhimpunan.

Bagaimanapun, Anwar berkata penganjur perlu memaklumkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh lima hari sebelum perhimpunan diadakan bagi membolehkan pihak berkuasa menjaga keselamatan, kawalan dan lalu lintas.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata Kerajaan MADANI sentiasa terbuka dan tidak menyekat sebarang himpunan awam yang ingin diadakan oleh rakyat.

Katanya, sebanyak 10,000 pemakluman perhimpunan dibuat kepada polis pada 2023 dengan 98 peratus perhimpunan berlangsung tanpa sekatan.

"Pada 2024, lebih 7,000 pemakluman diterima dan 99 peratus dibenarkan. Hanya satu peratus perhimpunan menghadapi isu kerana lokasi yang tidak mendapat kebenaran pemilik premis, bukan kerana tindakan menyekat oleh kerajaan," katanya.

-- BERNAMA