Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM) Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata susulan itu aspek 3P iaitu penyertaan, pemilikan dan penguasaan perlu diberi perhatian serius dalam usaha memperkukuh kedudukan ekonomi bumiputera.
Beliau berkata ini penting memandangkan pemilikan dan penguasaan masih belum mencukupi walaupun penyertaan dalam bentuk pendidikan, ilmu, kemahiran dan bakat dilihat sudah di tahap baik.
"Kita sudah lihat peningkatan dalam keusahawanan bumiputera, namun masih belum cukup mantap.
"Apa yang penting adalah untuk memastikan bumiputera bukan setakat menjadi peserta, tetapi juga memiliki dan menguasai rantaian penuh dalam sektor strategik," katanya kepada media pada siri syarahan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertajuk "Setahun Kerangka Ekonomi Bumiputera (KEB) : Di Mana dan Ke Mana Bumiputera?" di sini, hari ini.
Menjelaskan selanjutnya, Noor Azlan merujuk sektor kesihatan yang disertai ramai doktor dan usahawan bumiputera, namun kehadiran mereka dalam keseluruhan rantaian sektor berkenaan seperti pembekalan ubat, farmasi, peralatan perubatan dan insurans kesihatan masih kurang memberangsangkan.
"Oleh itu, kerajaan perlu ada pemetaan kluster dalam sektor-sektor utama ini. Kementerian Ekonomi misalnya telah mengenal pasti lima sektor berimpak tinggi dan bernilai tinggi menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.
"(Namun) di mana kedudukan bumiputera dalam sektor-sektor seperti aeroangkasa, kecerdasan buatan (AI) dan tenaga boleh baharu?" katanya.
Sehubungan itu, tegasnya, usaha pemetaan ini akan membolehkan sasaran jelas dalam memastikan penglibatan bumiputera di setiap peringkat rantaian dalam sektor utama itu yang memerlukan penglibatan kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
"Kita tidak mahu bumiputera hanya menjadi 'pembonceng' percuma yang menggunakan status itu tanpa menunjukkan keupayaan sebenar. Kita perlukan bumiputera yang berilmu, berkemahiran dan berpotensi untuk maju," katanya.
Mengulas pencapaian setahun KEB, Noor Azlan menyambut baik usaha kerajaan menubuhkan Majlis Ekonomi Bumiputera serta Jawatankuasa Pemandu dan Pelaksana yang menunjukkan kesungguhan dalam memartabatkan agenda bumiputera.
Namun, pada masa sama, beliau mengingatkan daripada 83 inisiatif jangka pendek yang dirancang, hanya lapan sedang berjalan manakala 75 masih di peringkat awal.
"Ini bukan bermakna gagal, tetapi kita perlu mempercepatkan pelaksanaan dan memastikan semua kluster dalam KEB terus bergerak agresif. Keputusan yang dirancang mesti dilaksanakan dengan sebaiknya," katanya.
Dalam pada itu, mengulas potensi Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, Noor Azlan menyifatkannya sebagai kesempatan terbaik untuk mengangkat agenda bumiputera ke peringkat serantau, terutama dalam konteks perniagaan dan perdagangan.
"Kita perlu menyusun strategi bagaimana bumiputera dapat beroperasi dan berjaya di rantau ASEAN dengan mengambil kira perbezaan tahap pendapatan dan pembangunan antara negara anggota blok itu," katanya.
-- BERNAMA
