NILAI: Pengarah urusan gudang dan kedai karpet di Nilai 3 yang terbakar dalam kejadian pada Jumaat, menyangkal dakwaan bahawa pihaknya sengaja membakar premis itu bagi mendapatkan pampasan insurans.


Ringkasan AI
  • Pengarah urusan gudang dan kedai karpet di Nilai 3 menyangkal dakwaan bahawa premis itu sengaja dibakar untuk mendapatkan pampasan insurans, menegaskan bahawa tuduhan tersebut tidak berasas kerana mereka baru sahaja membawa masuk stok untuk jualan Aidilfitri.
  • Rajesh menyatakan bahawa insiden kebakaran tidak mematahkan semangatnya untuk bangkit semula, dan menegaskan bahawa kebakaran itu bukan disebabkan perbuatan khianat. Beliau menyerahkan kepada pihak bomba untuk melakukan siasatan lanjut.
  • Kebakaran kali ini melibatkan kedai dan gudang dengan kerugian dianggarkan RM30 juta, berbeza dengan kejadian pada 2015 yang melibatkan kilang mereka dengan kerugian RM90 juta. Rajesh mengajak pelanggan setia untuk terus menyokong perniagaan mereka.


J Rajesh, 40-an berkata, tuduhan itu sangat tidak berasas, lebih-lebih lagi pihaknya baru sahaja membawa masuk stok bagi jualan Aidilfitri.

"Memang bodohlah kalau kami bakar kedai sebab nak tuntut insurans pada waktu nak dekat puasa ini.

"Sekarang ini adalah waktu paling terbaik untuk peniaga karpet seperti kami dapatkan keuntungan berganda kerana orang dah mula buat persiapan raya," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, boleh dikatakan setiap hari ada kontena membawa masuk karpet baharu ke premisnya untuk jualan sempena Aidilfitri nanti.

Bagaimanapun katanya, insiden yang berlaku itu tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk bangkit semula.

"Kalau tengok di semua platform jualan kami di media sosial, kita rancak mengajak orang ramai datang ke kedai.

"Jadi sangat tidak logik kita bakar kedai hanya semata-mata nak tuntut insurans dan saya tahu macam-macam tuduhan dilemparkan kepada kami," katanya.

Dia yang sudah 18 tahun berniaga turut menyangkal dakwaan bahawa kebakaran itu disebabkan perbuatan khianat dan menyerahkan kepada pihak bomba untuk melakukan siasatan lanjut.

Selain itu jelasnya, insiden kali ini tidak sama dengan kejadian pada 2015 yang menyebabkan pihaknya menanggung kerugian RM90 juta.

"Pada tahun 2015, kilang kami terbakar tetapi kali ini kedai dan gudang yang melibatkan kerugian dianggarkan RM30 juta.

"Pada waktu itu pun macam-macam orang buat tuduhan, tapi kita ambil kata-kata positif saja. Pelanggan setia kami, boleh datang ke premis kami yang bersebelahan untuk buat pembelian," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, sebuah kedai karpet berkeluasan 120,000 kaki persegi di Nilai 3 terbakar dalam kejadian jam 7.49 pagi pada Jumaat.

Bagaimanapun insiden itu tidak melibatkan mangsa dan pemiliknya menganggarkan kerugian dialaminya hampir RM30 juta selepas stok bagi jualan Aidilfitri turut musnah. -Sinar Harian