Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, mangsa yang maut itu merupakan lelaki warga asing.
Beliau berkata, susulan kematian individu terbabit menjadikan jumlah kematian akibat kejadian kepada dua mangsa.
"Sebelum ini, seorang mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang sehari selepas kejadian.
"Seorang lagi mangsa kemudiannya turut disahkan maut akibat melecur ketika menerima rawatan di Hospital Shah Alam keesokan harinya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika program Walkabout sempena Tahun Baharu Cina di Pasar Pagi Eng Ann di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Vijaya Rao berkata, siasatan berkaitan kejadian diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
"Setakat ini polis telah merekod keterangan pemilik dan pekerja kilang terbabit, dan buat masa ini polis masih menunggu hasil siasatan pihak bomba berhubung kejadian," katanya.
Media sebelum ini melaporkan tiga pekerja warga asing parah dalam kebakaran kilang di kawasan perindustrian Sungai Puloh, 22 Januari lalu.
Kejadian itu bermula di kawasan penyimpanan gas di bangunan tiga tingkat kilang terbabit sebelum merebak ke gudang tempat simpanan jentera berat serta kilang memproses tembaga.
Siasatan awal kemudiannya mendapati kejadian berpunca tong gas petroleum cecair (LPG) yang disimpan di pekarangan kilang itu dan nilai kerugian dianggarkan bernilai kira-kira RM5 juta. -- Sinar Harian