Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat negeri Zamakhshari Muhamad berkata buat masa ini pihaknya bekerjasama rapat dengan Agensi Antidadah Kebangsaan, polis dan pusat pemulihan bagi mengatasi isu berkenaan.
"Kita juga sedang memperkemaskan dengan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) agar menjadi payung bagi penyelarasan semua aktiviti berkaitan pencegahan dan pemulihan dadah di Kelantan.
"Malah, kita juga akan terus memperbanyakan aktiviti rekreasi anak muda supaya masa mereka terisi dengan perkara yang bermanfaat, selain usaha pendidikan dan pencegahan terus dilaksanakan di semua peringkat," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata isu penyalahgunaan dadah di negara ini semakin membimbangkan dengan trend menaik setiap tahun sejak 2022.
Saifuddin Nasution berkata Kelantan berada dalam senarai teratas kadar penyalahgunaan dadah tertinggi, berdasarkan nisbah per 100,000 penduduk diikuti Terengganu, Perlis dan Kedah dengan 61 peratus daripada jumlah penagih pula berusia lingkungan 15 hingga 39 tahun.
Pendang, Kedah menjadi daerah yang mencatatkan kes penyalahgunaan dadah tertinggi diikuti Kuala Krai dan Bachok di Kelantan, manakala methamphetamine atau syabu dan amphetamine-type stimulants (ATS) merupakan dadah paling banyak disalahgunakan, yang didapati meningkat 34.4 peratus.
-- BERNAMA
