KOTA BHARU: Individu yang dikesan membuang sampah di luar tong disediakan bakal didenda sehingga RM2,000 oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan Hilmi Abdullah berkata pihaknya juga akan mengesan individu terlibat melalui kamera litar tertutup (CCTV) termasuk mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan.

"Kita akan menjejaki mereka sehingga ke rumah untuk menyerahkan notis saman kerana kesalahan membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya iaitu di luar tong," katanya kepada pemberita selepas Program Lawatan Kerja Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud ke Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam, di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua PBT juga sedang meningkatkan pemasangan CCTV ke seluruh jajahan dan setakat ini sudah ada beberapa kes individu dikesan membuang sampah di luar tong disediakan di Machang dan Bachok.

"Semua individu terlibat sudah dikenakan tindakan mengikut Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah dengan denda sehingga RM2,000.

"Kes itu termasuklah pembuangan sampah di luar tong, membawa sampah atas but kereta atau membuang sampah industri/pukal ke dalam tong awam," katanya yang turut mengambil maklum mengenai situasi sampah ada kalanya terpaksa diletakkan di luar tong kerana sudah penuh.

Hilmi berkata perbuatan membuang sampah merata-rata tidak boleh diterima kerana tempoh mendidik yang diberikan sudah terlalu lama dan diharapkan dengan tindakan seperti ini masyarakat dapat mengubah sikap.

-- BERNAMA