Ringkasan AI
- Seekor buaya dilihat di Sungai Klang berhampiran Malayan Mansion, menyebabkan APM, PDRM, dan Perhilitan menjalankan operasi menangkapnya.
- Usaha menangkap buaya itu terhalang oleh arus sungai yang deras dan pencahayaan yang kurang baik.
- Orang ramai dinasihatkan untuk menjauhi kawasan tersebut dan melaporkan sebarang penemuan kepada pihak berkuasa.
Pegawai Pertahanan Awam Kuala Lumpur, Mejar Ahmad Junaidi Dukut Soerharto berkata, pihaknya menggerakkan dua pasukan ke lokasi selepas menerima aduan daripada orang ramai pada jam 10.19 malam.
Menurutnya, APM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) siap memasang peralatan untuk menangkap reptilia berkenaan pada kira-kira jam 11 malam, namun kelibatnya sudah tidak kelihatan.
Beliau menjangkakan proses penangkapan buaya itu akan mengambil masa kerana faktor cuaca dan arus sungai yang deras.
"Hujan agak lebat kebelakangan ini jadi arus sungai deras di mana ia memberi risiko kepada anggota kita untuk lakukan pencarian dan penangkapan.
"Proses yang dijalankan hari ini, walaupun baru lepas hujan lebat namun keadaan pencahayaan sekitar juga memainkan peranan penting kerana ia juga boleh mengakibatkan risiko kepada pasukan penyelamat," katanya ketika dihubungi.
Justeru beliau menasihatkan orang ramai agar mengelakkan diri dari berada berdekatan lokasi itu, serta memberi kerjasama dengan memberikan maklumat kepada pihak berkuasa.
Sebelum ini, buaya dianggarkan seberat hampir 500 kilogram (kg) itu dikesan timbul berhampiran Masjid Jamek pada 25 Januari lalu, sebelum muncul sekali lagi berhampiran pusat beli-belah The Gardens Midvalley dan KL Eco City, dua minggu lalu.
