GEORGE TOWN: Pelabuhan Pulau Pinang mencatat prestasi pengendalian kargo yang meningkat sebanyak 0.77 peratus iaitu 32.33 juta tan berat muatan (FWT) pada 2024, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.

Beliau berkata, aliran peningkatan kendalian oleh pelabuhan tertua di Malaysia yang dicatatkan sejak 2021, turut melibatkan perkhidmatan feri dengan pengendalian seramai 2.87 juta penumpang pada 2024 susulan pengenalan feri baharu dan terminal yang telah dinaik taraf.

"Jumlah singgahan kapal di Pelabuhan Pulau Pinang juga naik 31.18 peratus iaitu 4,653 buah kapal, malah saya juga difahamkan bahawa pelabuhan ini menjangkakan peningkatan menyeluruh bagi pelbagai operasi pada 2025," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Persaudaraan Pelabuhan dan Logistik Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 di Bayan lepas di sini, malam tadi, yang turut dihadiri Pengerusi SPPP, Datuk Yeoh Soon Hin dan Pengurus Besar SPPP, Datuk Dr V.Vijayaindiaran.

Hasbi berkata, Pelabuhan Pulau Pinang juga telah menyahut seruan Dasar Pengangkutan Negara (DPN) 2019-2030 dalam melestarikan alam sekitar melalui pelaksanaan beberapa perancangan seperti pengenalan Sistem Tenaga Pesisir di Terminal Swettenham Pier Cruise, Sistem Fotvoltan Solar, Sistem Pengurusan Armada, Sistem Kren Gantri Roda Getah Hibrid serta beberapa inisiatif lain yang menyokong usaha kerajaan ke arah piawaian alam sekitar antarabangsa.

Antara strategi DPN 2019-2030 adalah menguatkuasakan pematuhan kepada akta dan peraturan alam sekitar serta mengorak langkah ke arah piawaian alam sekitar antarabangsa, katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, SPPP telah mengambil pelbagai inisiatif untuk membangunkan pelabuhan itu dengan inisiatif berimpak besar seperti penggunaan Sistem Pengurusan Trafik Perkapalan (VTMS) dan pelancaran CLA+ Invoice Financing, malam tadi. - BERNAMA