SHAH ALAM: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu memastikan semua kemudahan dan kebersihan di seluruh Selangor berada pada tahap terbaik sempena Kepengerusian ASEAN 2025.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 di sini hari ini, berkata menjadi tanggungjawab untuk Selangor memberikan gambaran yang baik kerana negeri itu menjadi laluan pertama delegasi luar yang datang ke Malaysia.

"Ada pelbagai mesyuarat melibatkan pelbagai peringkat (dan) di Selangor ada beberapa mesyuarat yang akan diaturkan. Kalau tidak ada pramesyuarat pun, Selangor adalah laluan pertama (delegasi luar negara) menjejakkan kaki iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau pun di Subang (Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah) atau di Pelabuhan Klang menerusi kapal (jalan air).

"Akan ada ramai tetamu kehormat daripada pelbagai negara...bayangkan dia tengok Malaysia, mula-mula yang dilihat ialah keadaan jalan yang tidak sekata, papan tanda tidak terurus dan landskap tidak diselenggara dengan baik. Jadi ini pandangan pertama yang impaknya bukan hanya pada Selangor tetapi juga Malaysia," katanya.

Sementara itu, sempena Tahun Melawat Selangor (TMS) 2025, Amirudin meminta semua PBT untuk menonjolkan dan mengetengah identiti negeri selain menggesa pengusaha penginapan, pusat peranginan serta makanan untuk tidak mengambil kesempatan menaikkan harga sehingga berlipat kali ganda.

-- BERNAMA