IPOH: Pembangunan pesat dan kepadatan penduduk yang tinggi di kawasan Chemor menyebabkan keperluan mendesak untuk sebuah klinik kesihatan yang baharu.

Usia Klinik Kesihatan Chemor yang melebihi 35 tahun juga disifatkan tidak lagi relevan untuk menampung jumlah populasi di situ, dengan jumlah staf kesihatan yang sedikit.

Isu berkenaan antara topik utama yang diutarakan semasa Sesi Libat Urus Pemimpin Tempatan dan Warga Keselamatan sempena program Mesra di Dewan Komuniti MBI, Chemor.

Program itu dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR), Dr Maisarah Ahmad bertindak sebagai moderator.

Menurut Pakar Perubatan Keluarga di Klinik Kesihatan Chemor, Dr Yong Kui Choon @Albert, sekurang-kurangnya dua klinik kesihatan yang besar patut diwujudkan di kawasan tersebut.

"Kepadatan penduduk di sini ialah 131,000 orang dan lebih besar daripada lima daerah di Perak.

"Daripada lima daerah itu, contohnya Muallim ada 71,000 penduduk dan ada dua klinik kesihatan dan Batang Padang dengan kepadatan 130,000, mereka ada 10 klinik kesihatan.

"Tapi di Chemor hanya ada satu saja (klinik kesihatan), dan kita amat perlukan lebih ramai staf kesihatan. Setakat ini untuk 131,000 penduduk hanya ada 13 orang pegawai perubatan dan dua pakar perubatan keluarga," katanya selepas program itu.

Tambahnya, kepadatan penduduk itu mula bertambah sejak tahun 2020 serta saiz klinik masih sama sejak tahun 1985.

"Kebanyakan kawasan di Chemor ialah ladang-ladang, ada pasar raya besar dan pembangunan pesat.

"Tetapi fasiliti kemudahan masih hanya ada satu saja, diharapkan kerajaan negeri dapat lihat masalah ini dan usahakan sesuatu," katanya lagi.

Sementara itu, Saarani ketika ditemui berkata kerajaan negeri mengambil maklum mengenai isu itu dan akan dibawa kepada Kementerian Kesihatan.

"Saya akan datang melihat sendiri (klinik kesihatan Chemor) dan keperluan untuk naik taraf klinik itu menjadi klinik kesihatan besar.

"Berangkali bangunan lebih besar, di tempat yang lebih baik, selain itu bilangan doktor yang lebih ramai, staf dan kemudahan yang lebih banyak. Kalau ada peruntukan, kita boleh mulakan sebelum tahun 2030," katanya.