IPOH: Pelbagai kepincangan masyarakat dan penyakit sosial yang sedang melanda dunia hari ini adalah bukti bahawa sekadar memiliki undang-undang dan perundangan, tidak membawa sebarang makna.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, kepincangan dan penyakit sosial seperti penipuan, rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa, penindasan, persengketaan, perebutan kuasa, peperangan dan pembunuhan bukan kerana tiada undang-undang yang mencukupi.

Sebaliknya, titah baginda, segala yang berlaku adalah kerana manusia sudah kehilangan adab.

“Apabila manusia merasakan akal fikirannya terlebih pintar, dan apabila manusia sedang mabuk dilambung gelombang kuasa, manusia mula beranggapan mereka berupaya melakukan pelbagai helah untuk menguasai dunia dan mendominasi manusia lain.

“Mereka beranggapan memiliki kekebalan, bebas dan terlepas daripada hukum dunia, lalu undang-undang dipersenda, dimanipulasi dan akhirnya disisihkan, tanpa sedikit pun merasa gentar terhadap alam kubur, terhadap kewujudan Mahkamah Rabul Jalil pada hari kebangkitan, dan wujudnya pembalasan di akhirat,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru, di sini, hari ini.

Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Muzakarah bertemakan ‘Pemerkasaan Integrasi Antara Fiqh dengan Tasawuf’ itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar.

Sultan Nazrin bertitah, dalam kesibukan manusia menghirup kelazatan duniawi, kehadiran ilmu tasawuf ibarat ‘oasis’ atau wahah dalam kekeringan kehidupan dunia moden yang fatamorgana. 

Menurut baginda, terbukti ilmu tasawuf berhasil membimbing manusia untuk senantiasa membersihkan jiwa dan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T sehingga kehidupan manusia akan terselamat di dunia dan di akhirat. 

“Kehadiran ilmu tasawuf merupakan tindak balas menyelamatkan umat Islam yang sedang ditenggelami kesesatan, menikmati penyimpangan duniawi, sehingga rohani manusia menjadi gersang; lalu manusia menjadi semakin lali, semakin alpa dan semakin memandang ringan terhadap akhirat, lantas tidak lagi berasa gentar terhadap hari pembalasan ataupun takut kepada pembalasan Ilahi,” titah baginda.

Baginda bertitah. sejak terpinggirnya didikan ilmu tasawuf di bangku sekolah, manusia kini seakan-akan jasad yang hilang rohnya, bagaikan pohon yang hilang sumber airnya. 

“Ummah kini sudah tidak lagi mementingkan rohani, sebaliknya dibelenggu dengan habuan kebendaan dan keduniaan. 

“Pada waktu yang sama, turut terdapat gerakan membenci tasawuf sehingga melahirkan generasi yang tidak beradab.

“Malah ke peringkat bersifat biadab, menderhakai ibu bapa dan guru, generasi yang tidak malu menghina umara dan ulama, juga menyanggah dan mencabar ulul amri dengan mengucapkan kata-kata yang tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang mukmin,” titah Sultan Nazrin lagi.