Ringkasan AI
- Mahkamah Wilayah Narathiwat akan membuat keputusan kes dadah melibatkan penyanyi terkenal Kelantan, Eda Ezrin, suaminya, dan empat rakannya pada 6 Mac depan.
- Eda Ezrin memberi keterangan bahawa empat individu lain memasuki bilik hotelnya sebelum polis melakukan serbuan dan menemukan dadah.
- Eda Ezrin dan lima yang lain didakwa memiliki 6,059 pil methamphetamine dan mengaku mengambil dadah, tetapi menafikan memiliki pil tersebut. Mereka juga menghadapi pertuduhan memasuki Thailand tanpa dokumentasi yang betul.
Hakim Mahkamah Wilayah Narathiwat membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan tiga daripada enam tertuduh hari ini.
Dalam keterangan kepada mahkamah, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, atau Eda Ezrin memberitahu bahawa terdapat empat individu lain memasuki bilik penginapannya di hotel Genting, Sungai Golok, sebelum polis melakukan serbuan dan menemukan dadah.
Eda Ezrin memberitahu demikian ketika memberi keterangan dalam prosiding hari ketiga perbicaraannya bersama suami dan empat rakannya atas tuduhan bersama memiliki 6,059 biji pil methamphetamine.
Menerusi jurubahasa bebas yang dilantik mahkamah, Eda Ezrin berkata dua daripada empat individu terbabit dikenalinya adalah 'Nabila' dan 'Sirik'.
Beliau memaklumkan 'Nabila' dan seorang individu lain yang tidak dikenali memasuki bilik mereka kira-kira jam 2 pagi.
Eda juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau melihat rakan 'Nabila' membawa beg galas berwarna biru masuk ke dalam bilik air di bilik penginapan mereka.
Kira-kira 15 minit kemudian kedua-dua mereka keluar dan meninggalkan bilik berkenaan.
Dia yang memberi keterangan hampir sejam berkata kira-kira jam 3 pagi dua lagi individu masuk dengan salah seorang daripadanya dikenali sebagai 'Sirik' (Nasrik)) masuk ke biliknya.
Selepas berbual, kedua-duanya juga masuk ke dalam bilik air beberapa minit sebelum keluar meninggalkan bilik penginapan berkenaan.
Lebih kurang 10 minit selepas itu polis melakukan serbuan sehingga menahan kesemua mereka yang berada di bilik hotel berkenaan.
Mahkamah hari ini juga turut mendengar keterangan dari Erdeka Mohd Noor, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26.
Bulan lalu, penyanyi itu dan lima yang lain didakwa memiliki 6,059 pil Yaba dan pengambilan dadah di pekan Sungai Golok.
Eda Ezrin, suaminya Mohd Affendi Ahmad, 35, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, Erdeka Mohd Noor, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, mengaku tidak bersalah memiliki pil itu tetapi mengaku mengambil dadah di hadapan Hakim Mahkamah Wilayah Narathiwat.
Keenam-enam mereka didakwa kerana memiliki pil Yaba di sebuah hotel di Sungai Golok sekitar jam 5 pagi (waktu Thailand) pada 1 Nov tahun lepas.
Zuhaira dan Erdeka juga menghadapi pertuduhan kerana memasuki Thailand tanpa dokumentasi yang betul dan tinggal lebih masa.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)