Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 dijangka diumumkan pada 26 Nov depan.
Ketika mengumumkan perkara itu di Seremban, Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusuf berkata tarikh baharu itu lewat seminggu berbanding tarikh jangkaan sebenar sebelum ini berikutan terdapat kebocoran empat kertas peperiksaan itu baru-baru ini.
"Sebelum ini, kita jangka dapat umum keputusan sebelum cuti sekolah, tetapi dilewatkan seminggu. Bagaimanapun, kelewatan ini tidak menjejaskan sebarang proses kemasukan ke sekolah menengah atau berasrama penuh," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Convent, Seremban 2 hari ini.
Dr Khair yang turut mengadakan lawatan di empat buah sekolah lain di daerah Seremban, menjelaskan pihaknya berpuas hati dengan perjalanan peperiksaan bagi kertas Matematik dan Bahasa Tamil hari ini.
"Saya juga memuji bantuan yang diberikan oleh guru serta pihak sekolah dalam bentuk memberi pembelajaran ulang kaji, latihan tubi dan semangat serta motivasi kepada calon," katanya.
Dr Khair berkata mengikut rekod, sejumlah 473,175 calon berdaftar untuk menduduki peperiksaan itu pada 30 Sept lepas dan hari ini.
Katanya sebanyak 8,299 pusat peperiksaan disediakan iaitu semua sekolah bagi calon yang menduduki kertas Matematik selain 522 pusat bagi kertas Bahasa Tamil di seluruh negara.
Pada 22 Sept lepas, kementerian memutuskan kertas ujian Matematik 015/1 (Sekolah Kebangsaan), 025/1 (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina), 035/1 (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil) dan Bahasa Tamil 036, 037 UPSR yang berlangsung pada 10 Sept dibatalkan setelah disahkan bocor.
Tarikh baharu bagi kesemua kertas itu ditetapkan pada 9 Okt setelah mengambil kira cuti umum Aidiladha dan aspek logistik (percetakan dan pengedaran).
Dalam pada itu, peperiksaan ulangan itu hari ini berjalan lancar di seluruh negara dengan rata-rata kesemua murid hadir menduduki peperiksaan tersebut.
Peperiksaan semula itu diadakan susulan kebocoran kertas peperiksaan UPSR awal melibatkan 472,853 murid di seluruh negara bermula 9 Sept lalu.
Pada 30 Sept lepas, peperiksaan ulangan UPSR bagi dua mata pelajaran yang bocor iaitu Sains dan Bahasa Inggeris telah diadakan.
Jurucakap Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkata 21,024 murid mengambil peperiksaan ulangan mata pelajaran Matematik dan Bahasa Tamil hari ini di 254 pusat peperiksaan.
Di Pahang, sejumlah 25,161 murid mengambil peperiksaan ulangan mata pelajaran Matematik dan Bahasa Tamil.
Menurut Ketua Sektor bahagian peperiksaan Jabatan Pendidikan Pahang, Mohd Razali Mustafar, kedatangan murid bagi menduduki kedua-dua subjek berkenaan meningkat berbanding pada waktu UPSR sebenar.
"Saya sedikit hairan, jika dilihat pada peperiksaan UPSR sebenar yang berlangsung dari 9 hingga 11 Sept lalu, jumlah ketidakhadiran seramai 541 orang, diikuti pada peperiksaan ulangan 30 Sept seramai 591 murid dan menurun kepada 528 murid pada hari ini," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Razali berkata lapan murid terpaksa menduduki UPSR hari ini di Hospital Tengku Ampuan Afzan dan Darul Makmur Medical Centre, Kuantan disebabkan kemalangan dan demam denggi.
Di Kota Baharu, kesemua 32,926 calon menduduki semula peperiksaan tersebut, kata Pengarah Pendidikan Kelantan Hussain Awang.
Daripada jumlah itu, 32,220 orang adalah calon sekolah kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan manakala 418 orang adalah calon sekolahswasta/persendirian dan 288 calon Yayasan Islam Kelantan.
"Terdapat empat calon yang menduduki peperiksaan Bahasa Tamil di SJKT, selain 55 calon berkeperluan khas iaitu 51 calon mengalami masalah pendengaran dan selebihnya masalah rabun.
"Lima calon menduduki peperiksaan di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini kerana sedang menerima rawatan," katanya ketika dihubungi.
Di Kuala Terengganu, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu Hashim Mat Zin berkata 21,791 calon menduduki peperiksaan bagi kertas berkenaan hari ini dan tidak ada calon di Terengganu yang menduduki kertas ulangan bagi Bahasa Tamil di kesemua 383 pusat peperiksaan di seluruh Terengganu.
Di Kangar. peperiksaan UPSR di Perlis berjalan lancar dengan dua orang calon menduduki ujian itu di Hospital Tuanku Fauziah di Kangar.
Menurut Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan Perlis Azman Ghazali cuma 14 daripada 4,110 calon tidak menghadiri ujian tersebut.
Di George Town, sebanyak 23,621 murid mengambil peperiksaan ulangan tersebut, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang Datuk Osman Hussain.
Di Ipoh, sejumlah 38,566 murid menduduki peperiksaan ulangan UPSR di 876 pusat peperiksaan termasuk di sekolah swasta.
Pengarah Pendidikan Negeri Perak Mohd Idris Ramli berkata daripada jumlah itu, 2,605 murid menduduki peperiksaan ulangan kertas Bahasa Tamil.
Di Kota Kinabalu, peperiksaan berjalan lancar meskipun beberapa daerah di Sabah dilanda banjir berikutan hujan berterusan sejak beberapa hari lepas.
Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Jame Alip berkata kertas soalan bagi tiga sekolah di kawasan pedalaman Penampang iaitu SK Terian, SK Buaian dan SK Longkongon yang terputus hubungan disebabkan banjir dan tanah runtuh, dihantar menggunakan helikopter sejak semalam.
"Bagi sekolah yang jauh seperti di Pulau Banggi, di utara Sabah, yang mempunyai 11 pusat peperiksaan, pengawas peperiksaan bergerak sejak dari semalam lagi untuk ke pulau-pulau itu," katanya kepada pemberita selepas menjalankan tinjauan di Sekolah Kebangsaan Kibabaig, Penampang.
Sejumlah 45,361 calon UPSR di Sabah menduduki peperiksaan berkenaan tahun ini.
Di Melaka, peperiksaan ulangan itu melibatkan keseluruhan 13,780 calon di 244 pusat peperiksaan di seluruh negeri.
Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Melaka Datuk Md Yunos Husin berkata daripada jumlah itu, 487 calon menduduki kertas Bahasa Tamil di 21 pusat peperiksaan di negeri itu.
"Daripada jumlah itu juga empat calon menduduki kedua-dua peperiksaan tersebut di Hospital Melaka manakala tiga di Hospital Putra," katanya.
Di Johor Baharu, sebanyak 37,641 murid menduduki semula kertas peperiksaan Matematik dan 2,404 pelajar mengambil semula peperiksaan Bahasa Tamil.
Pengarah Pendidikan Johor Aminuddin Adam berkata peperiksaan itu berjalan lancar di 964 pusat peperiksaan di negeri itu.
Di Alor Setar, 35,481 murid mengambil peperiksaaan ulangan kertas Matematik dan 354 orang murid tidak hadir.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Negeri Kedah Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata bagi kertas Bahasa Tamil pula, 1,531 murid menduduki peperiksaan itu manakala 51 orang tidak hadir.
Bernama
Thu Oct 09 2014

Tarikh baharu itu lewat seminggu berbanding tarikh jangkaan sebenar sebelum ini berikutan terdapat kebocoran empat kertas peperiksaan itu baru-baru ini. - Foto Fail

Malaysia selaku Pengerusi ASEAN utamakan usaha damai di selatan Thailand - Thaksin
Thaksin berkata lawatannya ke selatan Thailand susulan perbincangan beliau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

Polis buka 15 kertas siasatan penipuan pelaburan saham didalangi 'Datuk'
Dalam tempoh 19 Jan hingga Khamis lepas, pihaknya menerima 32 laporan membabitkan kes berkenaan yang melibatkan sebuah syarikat dengan kerugian lebih RM1.3 juta.
Penindasan etnik Rohingya ujian kredibiliti ASEAN
Bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, peranan Malaysia datang dengan harapan dan jangkaan yang tinggi dalam mencari penyelesaian kepada krisis tersebut.

KKM sedia bekerjasama tangani peningkatan CKD
KKM alu-alukan pandangan semua pihak sama ada NGO, swasta mahupun agensi kerajaan berkaitan untuk menghasilkan inisiatif yang berkesan.
Kerajaan tidak campur urusan penguatkuasa
Anwar menegaskan kerajaan tidak mencampuri urusan badan penguat kuasa dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak.

Ismail Sabri masih perlu pemantauan rapi doktor
Ismail Sabri dilaporkan telah sedar sepenuhnya petang semalam namun masih memerlukan pemerhatian rapi daripada doktor.
Australia umum USD5.4 bilion untuk Medicare
Perdana Menteri Australia Anthony Albanese mengumumkan suntikan dana tambahan bernilai USD5.4 bilion bagi memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negara, dengan tujuan menampung lebih banyak kos lawatan ke doktor, lapor Xinhua.
![[KOLUMNIS] Kerjasama rakyat, industri realisasikan penggunaan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia [KOLUMNIS] Kerjasama rakyat, industri realisasikan penggunaan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia](https://resizer-awani.eco.astro.com.my/tr:w-177,h-100,q-100,f-auto/https://img.astroawani.com/2025-02/71740286728_Renewableenergy.jpg)
[KOLUMNIS] Kerjasama rakyat, industri realisasikan penggunaan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia
Malaysia telah mencapai 28 peratus dalam campuran bahan api setakat Oktober 2024.
Lebih 18,000 orang berhimpun di Istana Maharaja Jepun raikan hari keputeraan
Lebih 18,000 orang berhimpun dalam cuaca sejuk di Istana Maharaja Jepun bagi meraikan hari keputeraan Maharaja Naruhito.

FAMA tingkat 30 peratus bekalan kelapa di seluruh negara
FAMA membawa masuk sejumlah 640 metrik tan kelapa dengan peningkatan 30 peratus yang diimport termasuk dari Indonesia.

Keputusan UPSR dijangka diumumkan pada 26 Nov
Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 dijangka diumumkan pada 26 Nov depan.